KETUA Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Wan Mohd Hassan Wan Ahmad, (dua dari kiri) menunjukkan pistol yang di rampas daripada suspek di Teluk Intan. FOTO Ravale Savarinathan
KETUA Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Wan Mohd Hassan Wan Ahmad, (dua dari kiri) menunjukkan pistol yang di rampas daripada suspek di Teluk Intan. FOTO Ravale Savarinathan
Ravale Savarinathan


Teluk Intan: Jurutera, 28, nyaris ditembak seorang lelaki yang berang selepas keretanya bergesel dengan kereta dipandu mangsa di Batu 1, Jalan Maharajalela, di sini.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari, kelmarin, mangsa yang dalam perjalanan ke pejabatnya di bandar ini terkejut apabila kereta jenis Toyota Altis dipandunya dipintas suspek sebelum diarahkan berhenti dan suspek kemudiannya menendang serta menumbuknya.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, berang dengan tindakan mangsa yang berdiam diri menyebabkan suspek mengeluarkan pistol yang disimpan di pinggangnya sebelum mangsa mengambil tindakan memecut kenderaannya itu.

Katanya, mangsa kemudiannya memecut kenderaannya memasuki sebuah kelab eksklusif di Bandar Baharu di sini, dan meminta pengawal menutup pintu pagar kelab itu sebelum menghubungi abangnya.

"Suspek yang memberhentikan kenderaannya dihadapan pintu pagar kelab kemudiannya meminta ganti rugi akibat kemalangan itu kepada mangsa sebanyak RM3,000 dan mengugut untuk membunuh mangsa sekiranya enggan membayar ganti rugi itu.

"Polis terus ke lokasi kejadian selepas dihubungi abang mangsa dan siasatan menemui sepucuk pistol, 10 peluru, wang tunai berjumlah RM2,535, wang tunai 100 Thai Baht dan sebiji pil berwarna hijau disyaki dadah," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, pagi ini.

Wan Hassan berkata, ujian air kencing dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methampetamin dan suspek kini direman selama lima hari untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2016 @ 2:07 PM