POLIS memeriksa kediaman wanita dan bayi ditemui mati. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Nabihah Kamal

Rawang: Ibu berusia 33 tahun bersama bayinya berusia tujuh bulan ditemui mati di dalam rumah mereka di Taman Rawang Perdana 2 di sini, 9 pagi tadi.

Mayat dua beranak itu ditemui bapa mentua mangsa yang datang menziarah mereka.

Dia terkejut apabila pintu rumah berkenaan dalam keadaan terbuka.

Menurut jiran mangsa, bapa mentua wanita itu menjerit selepas menemui menantu perempuan bersama cucunya itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Saya terdengar pakcik (bapa mentua) itu menjerit sebelum berlari untuk melihat apa sebenarnya yang berlaku.

"Pakcik itu menunjukkan anaknya yang berada di dalam rumah terbaring di lantai manakala cucunya berusia enam bulan terbaring tidak sedarkan diri di atas katil.

"Keadaan rumah seakan-akan dipecah masuk kerana berselerak dan pintu terbuka," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, dia terus menghubungi polis untuk melaporkan kejadian itu.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.30 pagi sebelum ke lokasi kejadian.

"Polis menjumpai seorang wanita tempatan bersama anaknya terbaring di lantai dan atas tilam dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Pihak Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) sudah ke lokasi kejadian untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2016 @ 3:06 PM