LUCCA (kiri) dan import lain diberi masa pamer prestasi.
Azlan Hafeedz


Kota Bharu: Dua ‘permata hitam’ kini berada dalam radar Kelantan apabila mereka dijangka mengisi kuota import sekiranya pemain sedia ada gagal mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebelum pendaftaran kedua pemain dibuka, pertengahan Mei nanti.

Penasihat Kehormat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Datuk Seri Dr Hasmiza Othman memaklumkan, walaupun Liga Super pusingan pertama masih berbaki empat perlawanan, selaku penaja utama, beliau perlu merancang lebih awal mencari pengganti pemain import dalam usaha memantapkan pasukan.

Hasmiza atau Dr Vida berkata, setakat ini, beliau sudah mengenal pasti pemain import berkenaan dan akan mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan KAFA termasuk ketua jurulatih K Devan bagi membincangkan perkara itu.

Katanya, jika KAFA bersetuju, dua import terbabit Chinedu Udeaghu Sunday, 24, dan Afolabi Okiki Ezekiel, 22, masing-masing dari Nigeria akan diuji Devan dalam tempoh terdekat.

“Saya tidak mahu lagi isu atau masalah kegagalan pemain import menjadi sebutan mana-mana pihak termasuk penyokong atau mendatangkan masalah kepada pasukan.

“Sebaik bermula pusingan kedua Liga Super, saya mahu Kelantan bangkit menjadi pencabar kepada pasukan terkuat kerana peluang kita untuk memenangi sekurang-kurangnya dua piala masih terbuka,” katanya.

Sebelum ini, K Devan diberi lampu hijau oleh Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa untuk bebas memilih pemain import baru sebaik jendela perpindahan pemain dibuka.

Bagaimanapun, semua import sedia ada, Dramane Traore, Jonatan Lucca dan Blazhe Illjoski masih diberi peluang Jawatankuasa Pengurusan KAFA bagi membuktikan keupayaan sebenar dan jika masih gagal menepati piawaian ditetapkan, badan induk bola sepak Kelantan itu tidak teragak-agak membatalkan kontrak masing-masing.

Ketika ditanya mengenai kehebatan dua pemain import terbaru itu, Dr Vida berkata, masih terlalu awal untuk membuat penilaian namun beliau yakin mereka bakal menyengat serta menyaingi kehebatan import pasukan lain.

Katanya, Chinedu pernah beraksi bersama pasukan Enugu dan Rangers International FC dari Nigeria selaku pemain tengah manakala Afolabi pula pernah bermain sebagai penyerang ketika beraksi bersama Sunshine Star (Nigeria).

“Apapun, segala keputusan bergantung kepada Devan untuk memilih pemain import terbaru dan jika sudah mempunyai calon sesuai, beliau boleh memaklumkan kepada saya.

“Saya harap baki empat perlawanan bertemu pasukan Pahang, Terengganu, FELDA United dan Selangor menjadi platform terbaik untuk Devan serta pasukannya termasuk import bagi membuktikan prestasi mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 9:27 AM