ROY (kanan) bersama barisan pelakon.
ROY (kanan) bersama barisan pelakon.
Sudirman Mohd Tahir


Populariti diraih kumpulan Zero selepas muncul juara Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM 2014) berjaya membuka mata banyak pihak.

Malah, kemenangan itu turut membawa trio adik-beradik ini melangkah lebih jauh dalam bidang seni tanah air.

Siapa sangka personaliti dan gaya bersahaja mereka di pentas MLM 2014 menarik minat syarikat produksi Red Fires Film Production dan RJ Future Films Sdn Bhd menawarkan watak utama dalam filem Lu Mafia Gua Gangster yang akan ditayangkan pada 21 April ini.

Filem bergenre komedi yang menjalani penggambaran itu menampilkan anggota Zero iaitu Syaiful, Sharif dan Atu selaku watak utama.

Pengarahnya, Krishna Roy berkata, filem ini memang dibuat khas untuk Zero selepas kali pertama melihat penampilan mereka dalam MLM 2014.

“Sebelum memilih Zero, kami bercadang mengambil Zizan Razak. Suatu hari secara kebetulan saya menonton program itu dan tertarik dengan persembahan dan penampilan Zero.

“Saya lebih tertarik dengan cara mereka dan berbincang semula. Pada masa sama, tidak sangka pula mereka muncul juara. Jadi, kami tidak mengambil masa lama untuk menawarkan projek ini kepada mereka.

“Apa yang boleh saya katakan, filem ini memang didedikasikan khas untuk mereka. Walaupun jalan ceritanya tiada kaitan dengan mereka, tetapi penampilan mereka sebagai watak utama itu yang penting,” katanya.

Menurut Roy, Lu Mafia Gua Gangster ialah filem komedi pertama arahannya. Sebelum ini, dia lebih banyak mengarah filem bergenre seram.

Katanya, dia mendapat banyak pengalaman baru biarpun berdepan cabaran terutama anggota Zero yang masih ‘pekat’ dengan slanga Sabah.

“Dari segi lakonan mereka tidak ada masalah, cuma dalam melontarkan dialog itu saya perlu jaga. Bukan apa, slanga Sabah mereka sangat pekat sedangkan dalam cerita ini dua daripada mereka melakonkan watak orang Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, tidak susah bekerjasama dengan mereka. Semuanya berusaha memberikan yang terbaik,” katanya.

Filem yang menelan kos keseluruhan RM1.5 juta ini turut menjalani proses suntingan di Mumbai, India.

“Semasa proses penggambaran kami menggunakan kamera berdefinisi tinggi jenis 4K. Jadi, untuk mendapatkan kualiti gambar yang bagus, produksi menghantar ke India untuk proses suntingan.

“Saya sudah mencurahkan segala ilmu yang ada dalam filem ini. Dari segi kutipan, saya tidak meletakkan harapan tinggi asalkan tidak rugi saja,” katanya.

Roy yang sebelum ini pernah mengarah filem Aku Akan Muncul dan Apa Tengok Tengok ini yakin filem Lu Mafia Gua Gangster bakal menarik minat penonton berdasarkan sambutan diberikan ketika siri jelajah promosinya, baru-baru ini.

Bercerita mengenai pengisian jalan ceritanya, Roy berkata, filem ini hanya memberi fokus kepada komedi semata-mata.

Ia mengisahkan Amir lakonan Atu dan Rosham (Syaiful) yang bekerja di tempat pelupusan sampah, manakala Megat (Sharif) penjaga tapak pelupusan itu.

Setiap daripada mereka juga mempunyai impian dan angan-angan.

Amir bercita-cita menjadi pelumba kereta terhandal di dunia, Rosham pula selalu bermimpi untuk menjadi pelakon hebat seperti idolanya, Datuk Rosyam Nor dan Megat pula mengidam untuk menjadi orang kaya serta berpengaruh.

Pada masa sama, King (Datuk Jalaluddin Hassan) dan Kong (Zack Taipan) mafia yang paling digeruni. King dan Kong kawan rapat sejak kecil yang juga rakan perniagaan.

Pada satu pertemuan dengan pembeli berlian di sebuah restoran, King terpaksa menyorokkan kotak berlian itu selepas mendapati polis turut memasuki premis sama. Selepas pasukan polis beredar, King cuba mengambil semula berlian itu namun ia hilang.

Selain Zero selaku watak utama, filem ini turut menampilkan lakonan Saiful Apek, Syanie, Shira Saad, A Galak, Zulkifli Ismail, Along Ezyndy, Azlee Senario dan Gunser.

Susah jadi ‘orang KL’

Bagi Atu yang mewakili dua abangnya, dia mengakui mereka berdepan kesukaran apabila perlu bertutur seperti orang Kuala Lumpur.

“Sejujurnya saya dan Sharif ambil masa untuk berdialog seperti dalam skrip. Cuma Syaiful saja dibenarkan menjadi diri sendiri. Boleh dikatakan banyak kali juga perlu diulang sebab nak mengelakkan slanga Sabah itu terkeluar.

“Pada mulanya kami meminta supaya berdialog dalam slanga Sabah, tetapi tidak dibenarkan kerana filem ini adalah untuk pasaran di seluruh negara. Apa-apa pun kami sudah melakukan yang terbaik,” katanya.

Menurut Atu, dia bimbang jika penonton sukar memahami dialog disampaikan selepas dia melihat sendiri hasil filem ini.

Bagaimanapun, Atu berharap peminat dan penonton dapat memberi sokongan memandangkan ini adalah projek filem pertama mereka.

“Diakui berlakon filem jauh lebih susah daripada melawak di pentas. Dalam filem banyak perkara perlu diambil kira.

“Sebaliknya, jika melawak apa yang penting adalah pengisian. Kebiasaannya idea lahir secara spontan. Jadi, tidak perlu nak terlalu merancang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 11:24 AM