EZLINA bersama sebahagian daripada wakil agensi pelancongan.
Nor Akmar Samudin


Budaya menunjukkan bangsa yang kaya dengan adat dan pusaka lama. Hanya mereka yang berjiwa besar tidak pernah jemu untuk memartabatkan budaya bangsa sendiri dan seterusnya dihormati bangsa lain.

Sehubungan itu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang fungsinya untuk mengekalkan seni dan budaya pelbagai kaum di negara ini terus merangka pelbagai program.

Agensi kerajaan itu baru-baru ini mengadakan taklimat kepada agensi pelancongan untuk membawa pelancong asing menyaksikan pertunjukkan seni dan budaya yang sudah disusun di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Pengarah Unit Komunikasi Korporat JKKN Ezlina Alias berkata, taklimat itu bertujuan menjelaskan secara terperinci atur cara program jabatan itu kepada lebih 30 wakil agensi yang hadir.

“Semoga dengan adanya kerjasama dengan agensi pelancongan daripada seluruh negara, matlamat JKKN untuk terus memperkenalkan budaya pelbagai kaum di negara ini akan tercapai.

“Kita mesti berbangga dengan seni dan budaya kita sendiri kerana ia secara tidak langsung menunjuk cara hidup kita yang dipenuhi nilai murni , sopan-santun dan menghormati orang lain.

“Seni dan budaya bukan hanya hiburan semata-mata, tetapi adalah cermin diri setiap bangsa itu sendiri. Mereka yang cintakan budaya bangsanya adalah mereka yang sentiasa ingat asal usulnya walau di mana saja dia berada,” katanya.

Menurut Ezlina, supaya masyarakat dapat menghayati dengan lebih mendalam setiap festival kesenian yang diaturkan itu, ia diadakan di lokasi dan negeri yang melahirkan budaya itu.

Antara program diadakan ialah Festival Muzik Johor di Pusat Pelancongan Johor, minggu lalu.

Selain itu diadakan Festival Nasi Ambeng iaitu juadah terkenal dalam kalangan masyarakat Jawa di Kampung Benghuris, Sepang mulai esok hingga Ahad dan Pesta Air Chenor, Pahang pada 14 dan 15 Mei depan.

Ezlina berkata, pelbagai aktiviti juga dirancang hing­ga Oktober ini antaranya Konsert Tribute To P Ramlee oleh Koir Kebangsaan Malaysia (KKM) di Auditorium Kuching, Sarawak pada 2 dan 3 September dan In Love With Rock di Air Keroh, Melaka pada 8 dan 9 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 11:28 AM