Masni Ros Pakir Mohamad


Gara-gara tersilap memperoleh nombor telefon ketika berusia 17 tahun, pasangan ini akhirnya diijabkabulkan menjadi suami isteri pada Ogos tahun lalu. Kejadian ini berlaku pada Julai 2007 apabila seorang pemuda dari kampung Abu Zar Zanil di Negeri Sembilan mendapat nombor telefon Siti Noor Hamizah Mohamad Hanipah daripada rakannya.

Abu Zar kemudian meminta nombor telefon Siti Noor Hamizah atau panggilan mesra Miza daripada kawannya itu dan mereka terus menjadi sahabat.

Bagaimanapun, mereka tidak pernah berjumpa disebabkan sibuk dengan persiapan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Hanya panggilan telefon dan SMS menjadi penghubung. Mereka membuat keputusan berjumpa dan mengenali satu sama lain pada Januari 2008.

Menurut Miza, bukan mudah hendak berjumpa Abu Zar. Dia perlu datang berjumpa ibu dan nenek terlebih dahulu dan dita­nya dengan pelbagai soalan sebelum dibenarkan keluar.

“Ibu memberi kebenaran keluar, tetapi dengan bersyarat. Balik sebelum jam 7 malam. Abu Zar yang berasal dari Negeri Sembilan pandai mengambil hati orang tua dan ini membuatkan ibu dan nenek percaya kepadanya setiap kali keluar.

“Ramai sanak-saudara mengenali Abu Zar disebabkan sikapnya yang peramah dan pandai mengambil hati sesiapa,” katanya.

Miza yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM melanjut­kan pelajarannya dalam bidang perakaunan di Management Science University (MSU) Shah Alam pada 2008. Dia kemudian melanjutkan pelajarannya ke peringkat ijazah dalan bidang yang sama di Multimedia University (MMU). Pada masa sama, Abu Zar turut melanjutkan pelajaran di universiti berkenaan dalam bidang multimedia kreatif.

Menurut Miza, ketika belajar di MMU, dia mengenali sikap sebenar Abu Zar dan ini membuat hatinya tertambat dengan sikap penyayang dan menghormati orang tua. Apa yang membuatkan dia sukakan Abu Zar yang menghantar SMS kepada ibu jika ingin membawa­nya keluar berjalan-jalan.

Mereka membuat keputusan untuk bertunang pada 13 Disember 2014 dan diijab kabul selepas lapan bulan iaitu pada 15 Ogos tahun lalu. Majlis nikah diadakan di masjid Seksyen 7 Shah Alam. Majlis diadakan ringkas berikutan majlis persandingan diadakan pada 19 Mac lalu.

Miza pula membuat keputusan mengambil kursus jangka pendek selama enam bulan di GiatMARA, Serdang dalam bidang fesyen dan pembuatan pakaian walaupun sudah berkahwin.

“Saya membuat keputusan menyambung belajar dalam bidang kemahiran setelah gagal mendapat pekerjaan. Lebih 100 resume dihantar dan kebanyakannya hanya panggilan untuk temu duga.

“Walaupun ketika itu sedang mengandung, saya terus gagahkan diri untuk belajar ilmu fesyen dan jahitan sehingga selesai pada akhir Disember lalu,” katanya.

Pasangan suami isteri yang mempunyai minat sama iaitu memelihara kucing dan bermain video game ini bakal menimang cahaya mata pada pada 21 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 12:29 PM