NAJIB mengadakan pertemuan dengan Al-Jubeir sempena Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Ke-13 di Istanbul Congress Center, Istanbul. FOTO Bernama
NAJIB mengadakan pertemuan dengan Al-Jubeir sempena Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Ke-13 di Istanbul Congress Center, Istanbul. FOTO Bernama
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Pengakuan Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir sumbangan derma kepada Perdana Menteri memang dari negara itu membuktikan tuduhan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kempen Anti-Najib yang dilakukan sejak setahun lalu adalah palsu.

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad mendakwa, pembohongan Dr Mahathir itu didorong oleh kepentingan peribadi dan bukannya untuk menjaga negara atau rakyat Malaysia.

"Ia adalah usaha untuk menggunakan penipuan bagi menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi, hanya semata-mata untuk menyelamatkan karier politik anak beliau, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Media Barat yang membenarkan diri mereka 'dipergunakan' untuk meyebarkan dakwaan palsu bermotifkan politik ini perlu meminta maaf daripada rakyat Malaysia.

"Dr Mahathir pula perlu bertanggungjawab kerana merosakkan reputasi negara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam Adel mengesahkan wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak adalah derma daripada negara itu tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Beliau dipetik berkata, sepanjang pengetahuannya isu itu sudah selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 5:13 PM