FOTO hiasan.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), telah menyelesaikan 9,937 kes menerusi Program Pengurusan Kredit (PPK) dengan jumlah keseluruhan bernilai RM407.9 juta setakat 31 Mac 2016.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azaddin Ngah Tasir berkata, dalam 10 tahun penubuhan AKPK, lebih 418,941 pelanggan telah mendapatkan perkhidmatan kaunseling AKPK yang mana 148,830 daripada mereka dibantu melalui program PPK.

Katanya, punca utama masalah kewangan yang dihadapi peserta program ialah membabitkan perancangan kewangan yang lemah (51.9 peratus), kegagalan atau kelembapan dalam perniagaan (18 peratus), perbelanjaan perubatan yang tinggi (14.2 peratus) dan kehilangan pekerjaan atau diberhentikan kerja atau kehilangan pencarian nafkah utama (11.6 peratus).

"Hutang kad kredit dan pinjaman peribadi menjadi antara penyumbang utama kepada isu kewangan peserta dan kebanyakan daripada mereka berumur 30 hingga 50 tahun.

"Bagaimanapun, keseluruhan peserta bukan terdiri daripada mereka yang muflis tetapi mereka yang datang kepada AKPK mempunyai masalah pembayaran balik hutang mereka," katanya pada sidang media sambutan ke-10 AKPK di sini, hari ini.

Semenjak beroperasi April 2006, AKPK mencapai tahap membanggakan terutama selepas meluaskan sayapnya ke Pulau Pinang, Johor Bharu, Kuala Lumpur, Kuching, Kota Kinabalu, Melaka, Ipoh, Kuantan, Kuala Terengganu, Alor Setar dan Kota Bharu.

Program PPK AKPK membantu peminjam memulakan bajet yang menjadi panduan dalam melunaskan pembayaran hutang dan perbelanjaan hidup sekali gus mengurangkan pinjaman tidak berbayar.

FOTO Saddam

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 7:23 PM