Harun Mat Saat (berkerusi roda) bersama Sumustapha Suradi, 39 (dua, kiri) ketika didakwa membunuh Ketua Penolong Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang November lalu. - Foto Fail
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ketua ajaran sesat 'Tuhan Harun' atau Harun Mat Saat dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas didapati bersalah bagi empat pertuduhan mengumpul deposit secara haram berjumlah RM35 juta, 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, Harun, 50, yang kini menghidap penyakit angin ahmar menyebabkan beliau tidak boleh bergerak dan bercakap serta sukar melihat, hanya perlu menjalani hukuman enam tahun penjara selepas mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini.

Hakim Norsharidah Awang membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal mewujudkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman dua tahun penjara, pertuduhan kedua tiga tahun penjara, serta masing-masing hukuman empat tahun dan enam tahun penjara untuk pertuduhan ketiga dan keempat.

Pada 17 April 2014, Harun menghadapi pertuduhan membantu Business Time Dina Sdn Bhd, Pan Phoenix Dina Sdn Bhd dan Pan-Phoenix Dina Steel Sdn Bhd, menerima deposit RM35 juta daripada syarikat dan orang awam tanpa lesen sah engikut Seksyen 25 (1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama, membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Wisma MPL dan Wisma Goldhill, Jalan Raja Chulan di sini, antara 13 September 2006 dan 8 April 2008. Dia

Harun bersama lima lagi pengikutnya juga menghadapi pertuduhan lain, iaitu membunuh Ketua Penolong Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Ahmad Raffli Abd Malek, pada 10 November 2013 di Mahkamah Tinggi Kuantan.

Harun juga menghadapi satu pertuduhan di Mahkamah Tinggi Syariah dan 10 pertuduhan di Mahkamah Rendah Syariah di Kuantan, termasuk menyebarkan ajaran sesat dan menghina agama Islam dengan mengaku sebagai tuhan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 7:47 PM