RUMAH rosak akibat gempa bumi di Mashiki, Kumamoto. FOTO AP
RUMAH rosak akibat gempa bumi di Mashiki, Kumamoto. FOTO AP
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Lapan belas penuntut Malaysia di daerah Kumamoto di Kepulauan Kyushu yang dilanda gempa bumi berukuran 6.5 skala Richter semalam dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, semua penuntut di Kumamoto University, National College of Technology Kumamoto dan Ariake National College of Technology itu kini berada di zon pemindahan ditetapkan pihak berkuasa Jepun di bandar Kumamoto.

"Kedutaan Besar Malaysia juga sedang mengesahkan status rakyat Malaysia lain yang mungkin berada di kawasan terjejas sewaktu kejadian.

"Kerajaan Jepun mengumumkan pihak berkuasa sudah mengambil langkah sewajarnya dalam menangani situasi itu serta menyalurkan bantuan kepada mangsa terbabit," katanya.

Menurutnya, Kementerian Luar dan Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo juga sedang memantau situasi semasa dan berhubung rapat dengan pihak berkuasa Jepun untuk sebarang makluman serta perkembangan terkini.

Sekurang-kurangnya sembilan terkorban manakala 765 lagi cedera dalam kejadian gempa bumi yang melanda daerah Kumamoto, kira-kira 1,186 kilometer (Km) di selatan Tokyo, 9.26 malam semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 10:07 PM