PEMAIN Perak Elias (kanan) diasak kapten PKNS Shahrul Azhar Ture.
Nazri Abu Bakar

Melaka: PKNS terpaksa berpuas hati apabila diikat Perak 2-2 pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Hang Jebat malam tadi.

Babak pertama saingan lebih banyak dikuasai Perak dengan penguasaan hampir 65 peratus namun mereka buntu mencari gol pertama.

Kecekapan penjaga gol PKNS G Jeevanathan nyata menghampakan setiap sentuhan penyerang The Bos Gaurus termasuk rembatan Elias De Oliveira seawal minit pertama.

Peluang terbaik PKNS mencipta jaringan terhasil pada m-3 menerusi Gabriel Guerra namun diselamatkan penjaga gol Perak Hafizul Hakim.

Pelawat seharusnya mampu menghasilkan lebih banyak jaringan pada 45 minit pertama tetapi percubaan Vokhid Shodiev pada m-26 dan rembatan Eric Lewis m-33 serta Thaigo De Aquino m-42 gagal membuahkan jaringan.

Kedudukan separuh masa pertama yang disaksikan kira- kira 3,000 penyokong tamat tanpa sebarang jaringan.

Babak kedua pula menyaksikan kebuntuan jaringan tadi terlerai hasil jaringan penalti Guerra pada m-47 dan m-70 manakala Perak merapatkan jurang menerusi Nuridzuan Abu Hasan m-58.

Guerra tidak menghadapi masalah meledak gol pertama penalti selepas Gobelli dijatuhkan Shahrul Saad manakala jaringan kedua PKNS diperoleh menerusi gerakan solonya yang menewaskan tiga pertahanan lawan sebelum mengecewakan Hafizul.

Jaringan Nuridzuan pula diperoleh menerusi sepakan sudut Firdaus Saiyadi yang bijak menanduk gol penyamaan sebelum itu.

Cobelli hampir menambah derita pelawat namun percubaannya pada m-83 dan 85 tersasar manakala Perak akhirnya memperoleh gol penyamaan pada m-92 hasil tandukan padu Thiago Junio untuk kedudukan 2-2.

Kedua-dua pasukan akan bertemu di Ipoh pada 30 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2016 @ 5:08 AM