ANTARA babak menarik dalam drama Satu Hari.
Oleh Nor Akmar Samudin


Sara Ali sudah membuktikan keserasiannya dengan pelakon Fahrin Ahmad menerusi drama Maafkan Jika Aku Tak Sempurna yang baru selesai bersiaran menerusi slot Akasia di TV3. Kini Sara kembali lagi ke kaca TV menerusi drama 14 episod, Satu Hari yang menggandingkannya pula dengan Remy Ishak.

Satu Hari mengisi slot Ratu TV9 adalah karya terbaru Primeworks Studio Sdn Bhd yang akan mula bersiaran 2 Disember ini. Memantapkan lagi jalan ceritanya dengan watak dan karektor yang meyakinkan ialah Rita Rudaini, Miller Khan dan Hafizul Kamal.

Drama ini mengisahkan Sabrina (Sara Ali) yang bekerja di Sarajevo sebagai penyelidik. Dia berkenalan dengan Isfahan (Remy Ishak) secara tidak sengaja yang pada ketika itu, Isfahan membawa hati yang penuh duka ke Sarajevo selepas cinta tulusnya dikhianati isteri yang curang bersama teman baiknya sendiri, Moez (Miller Khan).

Isfahan sangat mencintai Lia (Rita Rudaini) sehingga dia sanggup melupakan segala keterlanjuran Lia dan Moez, tetapi Lia tetap berkeras minta diceraikan seolah-olah tiada lagi ruang di hati Lia buat Isfahan. Lebih berat apabila Lia turut meminta Isfahan merahsiakan punca sebenar mereka bercerai daripada keluarga Lia sehingga mereka melarang Isfahan untuk bertemu Puteri, anak kecil yang sangat dikasihi Isfahan.

Ketika di Sarajevo, Sabrina ber hadapan cabaran apabila Ian, teman setugasnya yang berbangsa Irish jatuh cinta dengannya dan ingin memperisterikannya. Ian mula bertindak ganas apabila cintanya ditolak membuatkan Sabrina ketakutan apabila berhadapan dengan Ian. Kesempatan bertemu Isfahan diambil oleh Sabrina untuk mengelakkan dirinya daripada Ian.

Bagi Isfahan, kehadiran Sabrina sedikit sebanyak mengubat hatinya dan semakin lama berkawan, terbit rasa cinta di hati Isfahan. Lelaki itu juga menjadi sebab untuk Sabrina menolak pinangan daripada Rizuan (Hafizul Kamal), sepupunya sendiri di Malaysia. Isfahan pula masih dibayangi memori silam selepas kegagalan perkahwinannya.

Lantaran itu, dia amat berhati-hati untuk serius dalam perhubungannya dengan Sabrina meskipun dia mencintainya. Namun, ketulusan hati Sabrina berjaya membuka pintu hatinya. Dalam mereka mula menyemai benih cinta Isfahan dikejutkan dengan berita yang anaknya Puteri sakit dan memerlukan perhatiannya.

Keadaan itu membuatkan hubungan Sabrina dan Isfahan terjejas apatah lagi Lia, bekas isteri Isfahan mula menyuarakan rasa hati ingin kembali ke pangkuannya membuatkan Isfahan merasa serba salah. Adakah Sabrina merelakan pemergian Isfahan dan melupakan cinta di hatinya? Adakah Isfahan akan kembali semula ke pangkuan Lia demi anak kesayangannya?

Ketahui ranjau yang perlu dilalui oleh Sabrina, Isfahan dan Lia dalam Satu Hari melalui slot Ratu, setiap Selasa dan Rabu, jam 8.30 malam hanya di TV9. Anda boleh layari www.tonton.com.my untuk mengikuti siaran ulangan dan lawati www.tv9.com.my untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:00 AM