FOTO Mohamad Hairi Azmi Tham
Mohamad Hairi Azmi Tham

Kuala Kangsar: Wanita maut dua cedera, seorang daripadanya parah dalam kemalangan lima kenderaan di Kilometer 256.4 Lebuhraya PLUS arah utara dekat terowong Menora, Kuala Kangsar, pagi ini.

Dalam kejadian 11.20 pagi itu, ketiga-tiga mangsa adalah pemandu dan penumpang kereta.

Difahamkan, kejadian membabitkan lori, tiga kereta Myvi dan dan satu Toyota Vios.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar Pegawai Bomba Kanan ll Abdul Halim Mat Siga berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan, pada 11.27 pagi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi mendapati hanya empat kereta yang terbabit kemalangan ada di tempat kejadian manakala lori sudah tiada.

"Daripada empat kereta itu, hanya Myvi biru yang mempunyai mangsa tersepit akibat besi penghadang jalan tertusuk pada cermin depan kenderaan.

"Tiga mangsa berada dalam kereta itu. Pemeriksaan mendapati lelaki berusia 26 tahun yang juga pemandu hanya cedera.

“Penumpang hadapan wanita berusia 24 tahun tersepit dan seorang penumpang belakang berusia 56 tahun didapati meninggal dunia namun tidak tersepit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Sabariah Mohamad, 56.

Mangsa parah adalah Nurul Nabihah Nasir, 24, manakala pemandu, Abdul Razak, 26.

"Anggota menggunakan peralatan menyelamat mengeluarkan mangsa tersepit dan menyerahkan kepada ambulans Pasukan Kecemasan dan Menyelamat (EMRS) bomba untuk dihantar ke hospital.

"Mangsa yang meninggal dunia diserah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Abdul Halim berkata, operasi membabitkan sembilan anggota dari Balai Bomba Kuala Kangsar dan enam dari Balai Bomba Simpang Pulai itu tamat pada 12.48 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2016 @ 3:58 PM