Oleh Nor Akmar Samudin


Kejayaan tidak akan datang bergolek sebaliknya dengan pelbagai ujian dan cabaran. Ketabahan untuk menghadapi rintangan dan percayakan diri sendiri yang akan memberi kekuatan dalam sebuah perjuangan untuk menjadi manusia berjaya dan dihormati masyarakat.

Itulah antara mesej yang ingin disampaikan kepada penonton menerusi teater muzik yang bertajuk SuperHero yang akan dipentaskan pada 17 hingga 21 Disember ini di Auditorium Muzium Negara Kuala Lumpur.

Pementasan teater itu dipersembahkan Revolution Stage dengan kerjasama myHarapan. Ia adalah teater muzikal ketiga daripada Revolution Stage dan yang pertama bersama myHarapan (Yayasan Amanah Belia).

Pengarah teater yang juga penulis skripnya, Khairunazwan Rodzi, berkata untuk pementasan ini, Revolution Stage mempertaruhkan bakat 15 anak muda yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

"Mereka mengikuti bengkel asas lakon kendalian Revolution Stage di bawah pengurusan myHarapan. Bengkel yang dibahagikan kepada tiga fasa itu sudah memasuki fasa terakhir iaitu pementasan.

"SuperHero berdasarkan kisah benar yang saya kumpul daripada kawan-kawan. Dengan tagline "hanya perlu percaya", teater ini mengajak orang ramai percaya dengan diri sendiri untuk berjaya. Kejayaan tidak datang bergolek.

"Tajuk SuperHero itu sendiri membangkitkan semangat dan mencetus inspirasi, maka saya akan cuba untuk mengekalkan semangat dan inspirasi itu sepanjang pementasan sehingga tamat".

"Melalui projek teater ini dan seterusnya pementasan SuperHero, myHarapan ingin mengetengahkan bakat muda khususnya daripada komuniti PPR (Projek Perumahan Rakyat) dapat dicapai," katanya.

Sementara itu kata Ketua Pegawai Eksekutif myHarapan, Nurfarini Daing, projek teater itu berjaya membuktikan remaja daripada komuniti PPR juga mampu meraih kecemerlangan jika mereka diberi platform bersesuaian dengan keperluan mereka, contohnya platform kreatif seperti seni persembahan," katanya.

Selain Nurfarini juga berpendapat keistimewaan SuperHero terletak pada ketulenan ceritanya berdasarkan cerita benar mengenai watak yang sememangnya wujud di kalangan komuniti yang kurang bernasib baik.

Teater ini bermatlamat mewujudkan kesedaran di kalangan masyarakat awam di negara ini mengenai masalah-masalah sosial yang dihadapi oleh golongan belia daripada komuniti ini.

Pementasan ini menampilkan Projek BB (Budak Baru); sebuah kumpulan yang juga ermula daripada bengkel asas teater anjuran myHarapan. Projek BB sebelum ini telah berjaya mementaskan dua teater muzikal iaitu Ramleefestasi dan SudirMania.

Bagi pementasan SuperHero ini, Projek BB bertindak sebagai mentor kepada peserta PPR selain turut terlibat sebagai pelakon. Teater Muzikal SuperHero akan didokong oleh Along Eyzendy, Aqasha dan Zulin Aziz.

Tiket berharga RM45 dan RM35 (pembelian early bird bermula pada 25 November sehingga 2 Disember 2014). Untuk tempahan dan pembelian tiket, sila klik laman Facebook dan Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:00 AM