PERSEMBAHAN pembukan daripada Sakura Band sempena konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro di City Fan, Miri. FOTO Muhd Zaaba Zakaria
PERSEMBAHAN pembukan daripada Sakura Band sempena konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro di City Fan, Miri. FOTO Muhd Zaaba Zakaria
FOTO Muhd Zaaba Zakeria
FOTO Muhd Zaaba Zakeria
AKIM menghiburkan penonton sempena konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro di City Fan, Miri. FOTO Mud Zaaba Zakeria
AKIM menghiburkan penonton sempena konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro di City Fan, Miri. FOTO Mud Zaaba Zakeria
Ramlah Zainal

Miri: Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt yang berlangsung di pentas terbuka Miri Fan City, 8 malam tadi, menarik lebih 6,000 pengunjung sekitar bandar raya ini dan Brunei Darussalam.

Rata-rata peminat yang hadir terhibur dengan persembahan mantap barisan artis popular tanah air seperti Akim & The Majistret, Radhi OAG, Ronnie Hussein, Amelina, Sandra dan Sakura Band.

Tirai konsert membabitkan persembahan pembukaan oleh Sakura Band yang menghiburkan peminat dengan tiga lagu iaitu Melepaskanmu, single terbaru Polaroid dan Cake By The Ocean-DNCE.

Penyanyi kelahiran program Mentor, Sandra turut mencuri perhatian peminat dengan lagu hitnya, Hey Kau! dan lagu baru, Ku Tak Mahu Cinta.

Penampilan istimewa ratu dangdut Amelina pula dengan lagunya Semakin Rindu, Rindu dan Cinta Harus Seksi.

Radhi OAG turut menghiburkan penonton dengan tiga lagu iaitu Akustatik, lagu baru, Sentuhan dan Slumber.

Bekas vokalis Hyper Acts, Ronnie Hussein pula menyampaikan tiga lagu iaitu Dikoyak Waktu dan Hanya Aku serta single terbaharu, Melangkah Laju.

Penonton tetap tidak berganjak untuk menantikan persembahan hebat dari band popular Akim & The Majistret yang menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu hits mereka iaitu Potret, Mewangi, Obses, Sisaku dan Terlalu Mudah.

Selain berhibur, pengunjung turut berpeluang memenangi hadiah lumayan dalam acara cabutan bertuah antaranya TV LED 40”, Samsung Galaxy Tab, Samsung Galaxy J1 Ace dan lima produk Air Cooler.

Konsert Ledakan Harian Metro turut diserikan dengan acara sesi beramah mesra dengan peminat di Imperial Mall, Miri (Old Wing) kelmarin.

Ia membabitkan pelbagai aktiviti menarik antaranya kuiz, sesi autograf serta peluang bergambar dengan artis terkenal tanah air.

Siri Jelajah 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt turut dijayakan bersama rakan penaja air mineral semula jadi Cactus.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2016 @ 11:47 PM