AKSI ketika perlumbaan bermula.
DUA peserta berentap di bawah terik mentari.
DUA peserta mengalami kemalangan ketika berlumba.
SEORANG peserta mengangkat tangan sebaik sampai ke garisan penamat.
WAJAH-wajah juara.
Mohd Azam Shah Yaacob


Mengejar kepantasan, mengukur kemampuan. Itu dua aspek yang ditonjolkan oleh 150 peserta Speed Zone MTB Criterium yang berlangsung di Cyberjaya, Selangor, baru-baru ini.

Mana tidaknya, peserta perlu melengkapkan lima pusingan perlumbaan yang setiap satunya sejauh 3.6 kilometer atau keseluruhannya sejauh 18 kilometer.

Dalam keadaan cuaca pada masa kini yang sangat panas, ternyata semua peserta berjaya mengharungi perlumbaan dengan jayanya tanpa sebarang masalah.

Bezanya, kemampuan serta kepakaran mengendali basikal yang menjadi kayu ukur serta penentu kemenangan.

Dianjurkan D Rozza Enterprise (D Rozza) serta dikawal Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bagi menjamin kualiti piawaian mengikut ketetapan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), perlumbaan ini memerlukan peserta mencabar kemampuan untuk mendapatkan masa paling pantas.

Biarpun setiap lap atau pusingan hanya sejauh 3.6 kilometer, ia bukan sesuatu yang mudah berikutan kesemua peserta perlu mencabar kebolehan mendaki dalam laluan sepanjang 200 meter.

Laluan mendaki itu saja cukup untuk menyusutkan stamina peserta setiap kali apabila perlu menempuhnya.

Tidak cukup dengan itu, aspek kawalan menjadi penentu utama berikutan ada antaranya memerlukan peserta menempuh selekoh tajam.

Pengarah Urusan D Rozza, Ros Mawar Harun berkata, sebanyak lima kategori dipertandingkan membabitkan kategori Junior Lelaki (15 - 18 tahun), Terbuka Lelaki (17 tahun ke atas), Junior Veteran (35 - 45 tahun), Veteran (46 tahun ke atas) dan Terbuka Wanita (17 tahun ke atas).

Katanya, pertandingan hanya tertumpu untuk kategori basikal bukit atau Mountain Bike (MTB) dan semua yang menyertai memiliki lesen perlumbaan diiktiraf PKBM.

“Bagi mengikuti spesifikasi perlumbaan mengikut ketetapan UCI, hanya basikal jenis MTB menggunakan saiz rim 26, 27.5 dan 29 inci saja dibenarkan.

“Malah, jenis tayar yang dibenarkan hanya jenis off-road bersaiz 1.95 ke atas selain beberapa syarat seperti penggunaan chainring di bawah saiz 50T selain penggunaan sepit udang (fork) bersuspensi.

“Hanya dengan mengikuti spesifikasi ini barulah, mereka layak berlumba dan membuktikan diri sebagai pelumba sebenar,” katanya.

Ros Mawar berkata, pemenang dipilih berdasarkan format masa terpantas dan pemenang menerima hadiah wang tunai serta plak.

“Matlamat penganjuran ini adalah untuk meningkat serta memartabatkan sukan kategori MTB dalam kalangan pelumba di negara ini dan secara tidak langsung di peringkat Asia Tenggara.

“Biarpun hanya disertai 150 peserta, kita berbangga kerana matlamatnya tercapai berikutan setiap peserta mewakili persatuan negeri serta daerah dan bertanding untuk membuktikan kebolehan serta kepantasan mereka sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2016 @ 5:02 AM