X
SEBAHAGIAN peserta mengambil bahagian.
SEBAHAGIAN peserta mengambil bahagian.

Lebih 1,000 peserta me­ngambil bahagian dalam acara larian amal, Pink Love Charity Run, anjuran Shills Beauty Sdn Bhd dan Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA) untuk menyokong perjuangan menentang kanser payudara.

Peserta berkumpul berkumpul seawal jam 6 pagi di Taman Tasik Titiwangsa, Selasa lalu dalam usaha menyokong objektif acara iaitu meningkatkan kesedaran dan menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat.

Pengarah Eksekutif Shills Lee Joyce, memulakan acara dengan ­menyampaikan replika cek sebanyak RM40,000 kepada Presiden BCWA, Profesor Zaharah Aiyub.

Segala keuntungan yang diperoleh daripada acara larian amal sejauh lima kilometer itu disumbangkan kepada BCWA.

Kebanyakan peserta menghabiskan larian lebih cepat daripada yang dijangka meskipun hujan turun sejak awal pagi. Sebagai tanda penghargaan, mereka menerima pingat berbentuk hati dan sijil penyertaan sebaik saja menamatkan larian.

Ramai peserta turut mengunjungi gerai BCWA yang mempamerkan pelbagai bahan untuk meningkatkan kesedaran terhadap kanser dalam bentuk risalah pendidikan, cenderahati dan alat pemeriksaan sendiri payudara.

Zaharah berkata, larian itu bertujuan meningkatkan dan mengukuhkan kesedaran terhadap kanser payudara.

"Sungguhpun Pink October sudah berlalu, kesedaran kanser payudara hendaklah diteruskan sepanjang tahun," katanya.

Sementara itu, Joyce berkata, Shills mula menjalinkan kerjasama dengan BCWA sejak tahun lalu dan mengambil pendekatan lebih menyeluruh, luas dan interaktif untuk meng­galakkan cara hidup sihat ­sambil memupuk keprihatinan dalam kalangan masyarakat.

"Melalui acara seperti ini, kami ingin menyampaikan pesanan bahawa setiap orang perlu mengamalkan senaman dan ­aktiviti fizikal secara serius bagi menghidari penyakit mental dan fizikal.

"Menariknya, semua peserta larian berjalan atau berlari secara berpasangan dengan pasangan, keluarga atau kawan.

"Setiap peserta dan pasangan diikat dengan reben merah jambu. Mereka mesti sampai ke garisan penamat dengan reben masih terikat," katanya.

Ikatan reben itu membawa makna tersendiri. Selain dikaitkan dengan kanser payudara, ia menunjukkan pesakit perlu mempunyai teman di sisi yang dapat memberi galakan, sokongan dan bantuan sepanjang perjalanan hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:01 AM