ABDUL Fattah beramah mesra dengan sebahagian daripada 30 pelatih akademi bola sepak.
Ismail Muhamad

Kota Bharu: Seramai 30 remaja berusia 15 hingga 17 tahun terpilih menyertai Akademi Bola Sepak Rakan Belia Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) yang julung kali dianjurkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan.

Pemilihan pelatih akademi di bawah seliaan Jabatan Pembangunan Islam (JPI) MPKB-BRI itu dibuat sejak Januari lalu membabitkan anak kakitangan PBT berkenaan selain warga Kota Bharu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, akademi itu ditubuhkan dalam usaha menyemarak program pembangunan bakat baru sukan bola sepak di kalangan masyarakat.

Katanya, kerajaan negeri percaya akademi itu berupaya melahirkan pemain harapan yang berpotensi diserap untuk pasukan negeri.

“Saya lihat ramai anak muda di negeri ini yang berbakat dalam bola sepak dan mereka perlu diberi peluang mengasah bakat mereka menerusi penubuhan akademi yang dimulakan oleh JPI MPJKB-BRI dan kita harap PBT lain dapat menubuhkan akademi sama di kawasan masing-masing.

“Saya berharap akademi ini mendapat sokongan dan penajaan daripada syarikat korporat bagi memastikan matlamat penubuhannya tercapai,” katanya ketika melancarkan Akademi Bola Sepak Rakan Belia MPKB-BRI di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengurus Akademi Bola Sepak Rakan Belia MPKB-BRI Wan Mohd Sharafi Wan Mustaffa (gambar) berkata, seramai 130 remaja mendaftar untuk pemilihan awal namun hanya 30 yang terbaik dipilih.

Katanya, pelatih akan menjalani latihan tiga kali seminggu dan diasah mengikut acuan pemain berjaya.

“Penubuhan akademi ini bertepatan dengan usaha MPKB-BRI mengenal pasti bakat dan menggilap kemahiran mereka dalam sukan bola sepak.

“Saya percaya pelatih mampu membentuk sikap positif dan disiplin tinggi ketika latihan dan kejohanan yang akan diadakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2016 @ 5:07 AM