Alor Gajah: Seorang pelajar jurusan Kejuruteraan Eletronik Komunikasi, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), melafazkan dua kalimah syahadah di depan penceramah antarabangsa, Dr Zakir Naik ketika ceramahnya yang dihadiri lebih 20,000 orang, sebentar tadi.

Senkiran Dharma, 24, melafazkan kalimah suci itu selepas menerima penerangan jelas mengenai persoalan mengenai Islam daripada Dr Zakir.

Beliau yang sebelum ini menganut agama Hindu berkata, tindakannya itu dilakukan secara rela hati tanpa paksaan sebarang pihak.

"Saya sudah mempelajari Islam sejak lebih tiga tahun lalu. Selepas menunggu lama akhirnya saya menerima hidayah untuk memeluk Islam malam ini," katanya ketika ditemui sebentar tadi.

Sejurus mengucap dua kalimah syahadah, Senkiran menerima senaskah al-Quran daripada Zakir sambil diiringi laungan takbir.

Turut menyaksikan 'kejutan' itu ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 12:02 AM
Senkiran menerima naskah al-Quran daripada Dr Zakir. - Foto MUHAMMAD HATIM AB MANAN
Pelajar jurusan Kejuruteraan Elektronik Komunikasi UTeM, Senkiran Dharma, 24, memeluk Dr Zakir selepas melafazkan dua kalimah syahadah di depan kira-kira 20,000 hadirin ketika ceramah pedakwah itu di Dewan Besar UTeM, sebentar tadi. - Foto MUHAMMAD HATIM AB MANAN