Azaddin
myMetro

Kuala Lumpur: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), menjangkakan 10 peratus daripada 148,830 pelanggannya yang dibantu melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) akan berjaya melangsaikan hutang mereka menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azaddin Ngah Tasir berkata, setakat 31 Mac 2016, pihaknya berjaya menyelesaikan sebanyak 9,937 kes menerusi program PPK dengan jumlah keseluruhan bernilai RM407.9 juta.

Katanya, dalam tempoh 10 tahun penubuhan AKPK, sebanyak 418,941 pelanggan telah mendapatkan perkhidmatan kaunseling AKPK yang mana 148,830 daripada mereka dibantu melalui program PPK.

“Keseluruhan peserta bukan terdiri daripada mereka yang muflis tetapi mereka yang datang kepada AKPK mempunyai masalah pembayaran balik hutang mereka.

“Hutang kad kredit dan pinjaman peribadi menjadi antara penyumbang utama kepada isu kewangan peserta dan kebanyakan daripada mereka berusia antara 30 hingga 50 tahun,” katanya pada sidang media sempena sambutan ulang tahun ke-10 AKPK, baru-baru ini.

Menurutnya, punca utama masalah kewangan yang dihadapi peserta program ialah membabitkan perancangan kewangan yang lemah (51.9 peratus), kegagalan atau kelembapan dalam perniagaan (18 peratus), perbelanjaan perubatan yang tinggi (14.2 peratus) dan kehilangan pekerjaan atau diberhentikan kerja atau kehilangan pencarian nafkah utama (11.6 peratus).

Azaddin berkata, terdapat juga peminjam yang bermasalah disebabkan faktor luar jangkaan seperti masalah kesihatan dan kematian pencari nafkah.

Beliau berkata, pihaknya komited untuk terus menyediakan pelbagai perkhidmatan pendidikan kewangan dan menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada 20 juta orang dewasa di negara ini akan menerima pendidikan pengurusan kewangan daripada AKPK.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 6:51 AM