Skip this ad x
RAJA Teh Maimunah
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Industri perbankan Islam diunjurkan berkembang pesat dengan jangkaan aset-aset perbankan Islam berupaya mencapai sehingga 40 peratus daripada jumlah keseluruhan industri dengan rangsangan bersama takaful dan pengurusan aset dalam tempoh antara lima dan 10 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Islamic Bank Berhad (HLIBB) Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata, sektor perbankan dan kewangan Islam di Malaysia mula wujud serta berkembang sejak 30 tahun lalu dengan kadar pertumbuhan tahunan 12 hingga 15 peratus.

Beliau berkata, pencapaian cemerlang itu terbukti apabila negara mempunyai jumlah keseluruhan bagi aset perbankan Islam yang mencecah RM487 bilion dan menyumbang 22 peratus daripada aset perbankan untuk industri berkenaan yang direkodkan sehingga penghujung 2014.

Katanya, Malaysia adalah hab perbankan Islam ketiga terbesar di dunia selepas Iran dan Arab Saudi masing-masing yang berada di tempat pertama dan kedua setakat ini dan negara terus mengalami transformasi memberangsangkan apabila Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA 2013) diperkenalkan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Lebih menarik dalam IFSA 2013, ia terus menjadi platform memacu pembangunan industri perkhidmatan kewangan dan perbankan Islam menerusi pengenalan konsep akaun pelaburan patuh syariah yang melengkapi setiap kelas aset.

“Malah, ia juga berperanan menjadi pemangkin penggerak enjin ekonomi sebenar selain memenuhi keperluan orang ramai pada masa kini khususnya pelabur yang mencari peluang pelaburan baharu dan sumber alternatif dana kepada perniagaan dan keusahawanan,” katanya, di sini.

Katanya, dunia perbankan Islam terus kekal berdaya tahan dengan adanya sukuk, iaitu bon kewangan Islam yang digunakan oleh syarikat untuk meraih dana awam melalui pelabur ataupun melalui terbitan oleh bank-bank Islam.

Pasaran sukuk menyediakan platform perniagaan dengan peluang yang pelbagai dalam meningkatkan dana bagi membiayai projek dan pelabur pula dapat melabur dalam pelaburan berteraskan konsep patuh syariah. Setakat 2014, sukuk terus menjadi instrumen dalam sistem kewangan Islam paling penting dan konsisten apabila menunjukkan prestasi cemerlang dengan terbitan sehingga AS$173 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 6:55 AM