ROSBERG
ROSBERG
AFP

Shanghai: Nico Rosberg meraih kemenangan dalam suasana penuh kecoh di Grand Prix China, melengkapkan kemenangan hatrik untuk melebarkan permulaan sempurna Formula Satu 2016.

Pemandu Mercedes dari Jerman itu dikejutkan Daniel Ricciardo pada awal perlumbaan namun selepas berjaya mengelak malapetaka pada selekoh pertama di belakang dua pelumba di depan, dia dengan pantas memintas pelumba Red Bull itu dan meraih kemenangan dengan kelebihan hanya 38 saat berbanding pelumba Ferrari Sebastian Vettel.

Juara bertahan Lewis Hamilton yang bermula dari petak belakang di Shanghai berikutan masalah mekanikal jentera Mercedes bangkit menamatkan saingan di tempat ketujuh, biarpun masuk ke pit lebih awal untuk menggantikan sayap depan yang rosak.

“Masih terlalu awal membuat kesimpulan,” kata Rosberg selepas melebarkan mata sebagai pendahulu kepada 36 mata.

“Lewis tidak terlalu jauh ketinggalan, 30 mata tidak banyak, ia satu perlumbaan dan dia tidak akan mengalah.”

Nasib malang Ferrari berterusan selepas Vettel dan Kimi Raikkonen berlanggar di selekoh pertama, menyebabkan pelumba Red Bull Daniil Kvyat berjaya lolos di tempat ketiga dan pelumba Russia itu kekal hingga tamat perlumbaan.

Vettel berjaya meloloskan diri dari kedudukan ke-15 namun menyalahkan Kyvat kerana memandu ‘seperti orang gila’ ketika mengamuk di radio pasukan.

“Serangan Kyvat seperti mahu membunuh diri,” keluh pelumba Jerman itu yang masih bertelagah dengan Kyvat ketika Rosberg memberikan ucapan kemenangannya.

“Anda masuk macam torpedo!” Vettel menengking Kyvat sebelum mereka meninggalkan podium dan Kyvat bersuara: “Itulah perlumbaan.”

Juara dunia empat kali itu mengakui dia bernasib baik dapat menamatkan perlumbaan.

“Saya bernasib baik dapat meneruskan perlumbaan,” kata Vettel.

“Saya berlanggar dengan Kimi. Saya bersimpati dengan Kimi tapi saya tersepit di antara Kimi dan Daniil dan tiada apa yang boleh saya lakukan.”

Sementara itu Rosberg meluru ke garisan penamat dengan pemanduan hebat, menjadi pemandu keempat memenangi enam perlumbaan berturut-turut selain Vettel (sembilan), Alberto Ascari (tujuh) dan Michael Schumacher (enam) selepas menang tiga perlumbaan terakhir musim 2015.

Jika kemenangan Rosberg di Australia dan Bahrain berjaya dinafikan Hamilton, kemenangan ke-17 sepanjang kariernya menunjukkan berlaku peralihan momentum yang ketara sejak Hamilton menjulang gelaran dunia ketiga di Texas Oktober lalu yang juga kali terakhir dia menjuarai perlumbaan Grand Prix.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 8:24 AM