AFP

Madrid: Karim Benzema (gambar) mengatasi kekecewaan dipinggirkan daripada skuad Perancis ke Euro 2016 dengan menjaringkan satu gol dan membantu dua lagi ketika Real Madrid menghampiri pendahulu La Liga Barcelona dengan satu mata selepas membelasah Getafe 5-1, kelmarin.

Pengurus Madrid Zinedine Zidane menggesa Benzema untuk ‘memecut pantas’ selepas Persekutuan Bolasepak Perancis mengumumkan Rabu lalu dia tidak dipilih menyertai kejohanan di negaranya berikutan pembabitan dalam skandal pita seks, yang mana rakan senegara Mathieu Valbuena menjadi mangsa peras ugut.

Benzema menurut arahan pengurusnya itu apabila menjaringkan gol pembukaan, sebelum hantarannya disempurnakan Isco untuk membantu Madrid mendahului 2-0 pada rehat babak pertama.

Gareth Bale menjaringkan gol ketiga dengan penyudah kaki kidal hasil satu lagi hantaran cantik Benzema, lima minit selepas separuh masa kedua.

Pablo Sarabia menjaringkan gol sagu hati buat Getafe sebelum James Rodriguez dan Cristiano Ronaldo melengkapkan jaringan kemenangan selepas itu.

Real memintas Atletico Madrid di tangga kedua dengan kemenangan ketujuh La Liga berturut-turut.

“Ia tidak menjejaskannya, jelas sekali dia kecewa tapi dia seorang yang profesional dan sedar dirinya penting buat pasukan apabila berada di padang,” kata Zidane mengenai rakan senegaranya Benzema.

“Hari ini dia menjaringkan gol dan membantu dua jaringan, jadi dia memberi tumpuan terhadap apa yang dilakukannya.”

Zidane memberi amaran supaya pasukannya tidak leka, namun Getafe yang tidak menang dalam 13 perlawanan Liga tidak mampu memberi ancaman terhadap Madrid yang baru saja bangkit ke atas Wolfsburg dalam Liga Juara-Juara untuk mara ke separuh akhir, pertengahan minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 8:27 AM