PEMAIN Negeri Sembilan, Joel Chianese Joseph (kiri) ketika menentang PKNS.
Mohd Amin Jalil

Seremban: Negeri Sembilan akan mempertahankan reputasi selaku pasukan yang belum tewas apabila membuat perhitungan dengan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada aksi Liga Perdana di Stadium Larkin, malam esok.

Penolong kapten Annas Rahmat berkata, dia dan rakan sepasukan akan turun berjuang habis-habisan bagi mendapatkan kemenangan kerana tidak rela rekod tanpa kalah pasukan tercalar.

Katanya, biarpun mengakui pasukan lawan mempunyai kelebihan, namun semua pemain sudah bersedia untuk memberikan persembahan terbaik dalam memastikan misi merealisasikan sasaran meraih tiga mata tercapai.

“Kami akan turun dengan persembahan terbaik bagi meneruskan momentum kemenangan selepas berjaya menewaskan PKNS di laman sendiri, minggu lalu.

“Walaupun sedar Johor DT II sudah menunjukkan kebangkitan dalam beberapa perlawanan terakhir mereka, namun kami akan berusaha keras untuk mempertahankan rekod pasukan.

“Kami tidak akan sesekali membenarkan reputasi itu tercalar dan mahu memastikan tiga mata mampu dibawa pulang demi mempertahankan rekod berkenaan,” katanya semalam.

Selepas tujuh perlawanan, skuad Hoben Jang Hoben kini menduduki tangga kedua carta liga dengan mengumpul 15 mata hasil empat kemenangan dan tiga seri serta hanya kurang dua mata dengan pendahulu, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 8:51 AM