SYAZUWAN
Syafil Syazwan Jefri


Bekerja di belakang tabir dan berpengalaman sebagai pengurus artis memberikan ruang kepada pelakon baru, Syazuwan Hassan untuk belajar mengenai selok-belok dunia seni.

Bakat baru yang dicungkil menerusi Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) yang berlangsung baru-baru ini mengakui, perjalanan untuk mengejar cita-cita menjadi pelakon tidak semudah yang disangka.

“Ramai menganggap menjadi pelakon dan bergelar selebriti adalah mudah. Namun, bagi saya secara peribadi ia tidaklah senang sebenarnya,” katanya.

Menurut Syazuwan, minatnya dalam bidang lakonan membuatkannya berani untuk cuba meneroka kebolehan dan bakat dalam dirinya.

“Ada beberapa rakan yang bertanya, kenapa saya tidak pernah mencuba nasib untuk mana-mana sesi uji bakat sebelum ini. Jadi, apabila ada peluang di depan mata seperti DFKL, saya ambil peluang itu,” katanya.

Tambah pelakon berusia 26 tahun itu lagi, dia yang tidak pernah berlakon secara profesional sebelum ini menganggap pemilihannya sebagai enam bakat baru DFKL tahun ini sebagai amanah.

“Tidak semua orang mendapat peluang ini. Oleh itu, tiada alasan untuk saya mensia-siakan amanah yang diberikan. Apa perlu dilakukan sekarang sebagai pelakon baru ialah mesti memberikan yang terbaik,” katanya lagi.

Mengagumi pelakon, Leonardo DiCaprio, Syazuwan juga mendapat lampu hijau daripada kedua-dua orang tuanya.

“Keluarga adalah tulang belakang saya kerana mereka sentiasa menyokong dan menghormati minat saya. Kenapa saya pilih Leonardo sebagai idola? Kerana dia adalah aktor yang boleh mempelbagaikan watak. Dia juga sudah mula berlakon sejak kanak-kanak dan berjaya sehingga kini,” katanya.

Selain Leonardo, Syazuwan juga menyimpan impian berlakon bersama dua aktor Malaysia iaitu Bront Palarae dan Adi Putra.

Terbaru, pelakon itu baru saja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Ketupat Palas Mr Handsome terbitan Country & Universal Sdn Bhd.

“Untuk drama arahan Hitler Zami ini, saya memegang watak pembantu sebagai Sam Haikal. Drama ini akan ditayangkan di slot Lestary pada Ramadan akan datang. Selain saya, antara barisan pelakon lain, Fattah Amin, Mira Filzah dan Aisya Hasna,” katanya.

Ditanya pengalaman pertamanya berlakon dalam drama bersiri, ternyata ia cukup mencabar kemampuannya.

“Paling mencabar ketika menjalani penggambaran di Kedah selama seminggu, cuaca panas sehingga mencecah 38 darjah Celsius. Walaupun memenatkan, namun sebagai pelakon baru, saya puas dengan apa yang dilakukan,” katanya.

Selain itu, dia juga menerima tawaran untuk muncul dalam drama Mr Donat Karamel, terbitan JS Pictures.

“Alhamdulillah, perlahan-lahan saya akan belajar selok-belok dunia lakonan dan bagaimana meningkatkan kemahiran dan kualiti lakonan saya serta berharap kehadiran saya dalam industri diterima dengan baik dan mendapat sokongan semua pihak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 11:00 AM