SAKURA Band
SAKURA Band
SANDRA
SANDRA
RADHI
RADHI
AMELINA
AMELINA
RONNIE
RONNIE
AKIM
AKIM
PENGNJUNG memberi sokongan.
PENGNJUNG memberi sokongan.
Ramlah Zainal


Hebat dan menghiburkan! Itulah yang dapat digambarkan suasana Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt yang berlangsung di pentas terbuka Miri Fan City bermula jam 8 malam kelmarin.

Menampilkan empat artis solo dan dua band berkumpulan, konsert yang dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-25 Harian Metro berjaya menarik lebih 6,000 pengunjung sekitar Miri dan Brunei.

Seawal jam 4 petang peminat sudah membanjiri pekarangan Miri Fan City untuk menyaksikan artis kesayangan mereka dengan lebih dekat.

Rata-rata peminat sangat terhibur dengan persembahan mantap barisan artis popular tanah air seperti Akim & The Majistret, Radhi OAG, Ronnie Hussein, Amelina, Sandra dan Sakura Band.

Tirai konsert pada malam itu dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh Sakura Band yang dianggotai lima anak muda. Mereka menghiburkan peminat dengan tiga lagu, Cake By The Ocean-DNCE, single baru Polaroid dan Melepaskanmu.

Persembahan diteruskan dengan penampilan pendatang baru, Sandra yang digilap bakatnya menerusi program realiti Mentor Legend. Dia tampil menghiburkan peminat dengan lagu hitnya, Hey Kau! dan lagu barunya, Ku Tak Mahu Cinta.

Selepas 15 tahun tidak beraksi di pentas, kemunculan semula ratu dangdut Amelina berjaya mengubat kerinduan peminat dengan lagunya Semakin Rindu, Rindu dan Cinta Harus Seksi.

Bekas vokalis Hyper Acts, Ronnie Hussein pula menyampaikan tiga lagu termasuk medley DiKoyak Waktu dan Hanya Aku. Ronnie turut mengajak penonton menyanyi bersamanya lagu selamat ulang tahun khusus untuk meraikan sambutan ke-25 tahun Harian Metro.

Persembahan semakin rancak dengan kemunculan Radhi OAG yang menghiburkan penonton dengan tiga lagu, antaranya Akustatik dan Slumber. Pada konsert itu juga, Radhi turut menyampaikan lagu barunya berjudul Sentuhan yang belum diperdengarkan kepada peminat sebelum ini.

Ketika ditemui, Amelina mengakui dia sangat gembira kerana dapat bertemu peminatnya di Miri.

“Konsert malam ini dapat mengimbau nostalgia ketika saya menghiburkan peminat di Miri kira-kira 20 tahun lalu. Ketika nama di kemuncak dulu, saya banyak mendapat undangan persembahan di sini,” katanya.

Begitu juga Ronnie yang mengakui gembira dengan sambutan penonton di Miri pada malam itu.

“Konsert ini cukup bermakna kerana berasa diri dekat dengan peminat. Mereka memberi kerjasama yang sangat baik sepanjang saya membuat persembahan,” katanya

Manakala, Radhi pula mengakui tidak puas kerana hanya dapat menyampaikan tiga lagu.

“Saya sudah terbabit selama 25 tahun dalam bidang seni dan sama usia dengan akhbar Harian Metro. Justeru, kalau boleh saya ingin menyampaikan lebih banyak lagu untuk menghiburkan peminat sekali gus menghargai pembaca Harian Metro,” katanya.

Persembahan Akim memukau penonton

Seperti dijangka, persembahan Akim & The Majistret dinantikan ribuan peminat sejak awal lagi. Justeru, semua penonton tidak berganjak walaupun jam sudah mencecah 10 malam.

Kemunculan Akim dan enam anggota band The Majistret disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh daripada penonton. Akim menghiburkan peminat tanpa henti dengan enam lagu - Terlalu Mudah, Sisaku, Gelora, Obses, Potret dan Mewangi.

Persembahan semakin hangat apabila Akim mengajak penonton menyanyikan lagu Potret dan Mewangi. Terus terang, kata Akim, dia sangat berpuas hati dapat bertemu peminatnya di Miri dan Brunei.

“Saya puas melihat sambutan yang hangat daripada peminat pada malam ini. Selain dapat bersama-sama meraikan ulang tahun ke-25 Harian Metro, saya juga dapat mengeratkan lagi hubungan dengan peminat di Miri.

“Semoga konsert seperti ini padat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Selain berhibur, pengunjung turut berpeluang memenangi hadiah lumayan dalam acara cabutan bertuah antaranya TV LED 40”, Samsung Galaxy Tab, Samsung Galaxy J1 Ace dan lima produk Air Cooler.

Konsert Ledakan Harian Metro turut diserikan dengan acara sesi beramah mesra dengan peminat di Imperial Mall, Jumaat lalu. Ia membabitkan pelbagai aktiviti menarik antaranya kuiz, sesi autograf serta peluang bergambar dengan artis terkenal tanah air.

Siri Jelajah 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt turut dijayakan bersama rakan penaja air mineral semula jadi Cactus.

Selepas Miri, Konsert Ledakan Harian Metro akan diteruskan ke lokasi terakhir di Padang Merdeka Kuching, Sarawak pada tarikh yang akan diumumkan nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 11:11 AM