MOHANA (tiga dari kanan) berkongsi ilmu pemakanan sihat dengan kanak-kanak.
MOHANA beramah mesra dengan golongan ibu.
CHONG menunjukkan cara menyediakan hidangan buah-buahan.
Faizatul Farlin Farush Khan

Sering bertemu ramai ibu yang menghadapi kesukaran memujuk anak makan buah dan sayuran, penulis buku kesihatan, Mohana Gill, tampil dengan beberapa siri buku yang memberi tip dan idea untuk menangani masalah itu.

Antara buku yang dihasilkannya ialah Hayley’s Fruitastic Garden, yang pernah memenangi anugerah Buku Kesihatan dan Pemakanan Terbaik Gourmand pada 2010 selain mendapat penghargaan dalam kategori kanak-kanak di Festival Buku New England 2011.

Wanita kelahiran Myanmar yang juga ibu kepada tiga anak itu ialah pengarang buku masak popular seperti Fruitastic, Vegemania, dan Myanmar: Cuisine, Culture And Customs yang juga memenangi anugerah.

Dia juga sudah lima kali memenangi Anugerah Buku Masak Dunia Gourmand yang berprestij dan baru-baru ini memenangi anugerah Buku Masak Terbaik di Gourmand Awards Best of the Best untuk buku Fruitastic.

Sepanjang pengalaman menulis buku, dia mengakui selalu didatangi ramai ibu yang menghadapi kesukaran memujuk anak mereka makan buah dan sayuran.

“Ia secara tidak langsung mendorong saya menulis buku untuk memberi motivasi kepada kanak-kanak untuk makan seimbang.

“Buku terbabit memperkenalkan kanak-kanak kepada dunia buah dan sayuran dengan cara menyeronokkan disertakan dengan lakaran, cerita serta fakta menarik. Ia turut menyelitkan beberapa resipi menarik untuk dicuba sendiri oleh kanak-kanak,” katanya.

Dia berkata demikian pada majlis meraikan Hari Buku Kanak-Kanak Antarabangsa baru-baru ini, sempena pelancaran kempen CSR Fruitastic Tales anjuran MBG sepanjang April ini dalam usaha menggalakkan kanak-kanak mengamalkan pengambilan buah-buahan dan sayuran berkhasiat.

Majlis itu turut mendapat kerjasama taman riadah seisi keluarga bertema London Street, The Parenthood, bergabung tenaga bersama-sama pakar diet dari Institut Jantung Negara (IJN). Kempen bergerak ke beberapa sekolah sekitar Lembah Klang berkenaan turut menampilkan Mohana dan koleksi bukunya.

Menurut Garis Panduan Diet Malaysia bagi Kanak-Kanak dan Remaja yang diterbitkan pada 2013, kita disyorkan makan pelbagai buah dan sayur setiap hari.

Menurut pakar diet IJN, Chong Mei Kee, kanak-kanak sekolah dan remaja di negara membangun kurang mengambil makanan berkhasiat daripada hasil haiwan, buah-buahan dan sayuran, mengakibatkan ramai daripada mereka kekurangan mikronutrien.

Katanya, buah dan sayuran diiktiraf sebagai sumber serat, vitamin, mineral dan antioksidan yang baik serta penting untuk tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak.

“Penyelidikan terkini membuktikan orang yang mengambil banyak buah-buahan dan sayur-sayuran boleh hidup lebih lama, kurang menghidap penyakit kronik dan mengalami kehilangan upaya, manakala risiko mereka mendapat penyakit seperti penyakit jantung dan kanser adalah lebih rendah.

“Buah-buahan boleh membantu kanak-kanak menguatkan sistem imun, mengawal berat badan, mencapai prestasi lebih baik di sekolah, dan membantu melawan penyakit.

“Sebaik-baiknya, makan buah-buahan yang berlainan warna kerana ia mewakili vitamin yang berlainan dan antioksidan yang terdapat di dalamnya,” katanya.

Menurutnya, buah-buahan merah seperti strawberi dan tembikai memberi kesan perlindungan daripada kanser dan penyakit jantung manakala buahan hijau seperti jambu batu dan kiwi kaya dengan vitamin C serta mengandungi antioksidan untuk menyokong kesihatan gusi dan sistem imun.

Kempen itu juga bertujuan menangani masalah kegemukan dan kemurungan dalam kalangan kanak-kanak. Malah Malaysia dilabelkan sebagai negara paling gemuk di rantau ini dan keenam paling gemuk di Asia.

Antara 2006 hingga 2011, negara kita mencatat kenaikan 14 peratus kadar obesiti dalam kalangan penduduk berumur 18 tahun dan ke atas dengan sejumlah 2.6 juta penduduk dewasa dianggap obes di negara ini menjelang 2011.

Satu tinjau selidik yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan mendedahkan lebih satu perempat kanak-kanak sekolah di Malaysia obes atau mengalami berat badan berlebihan.

Cadangan Mohana untuk menggalakkan kanak-kanak membaca buku dan makan seimbang:

1. Cari buku, lagu atau program televi­syen yang membincangkan buah-buahan dan sayur-sayuran dengan cara menyeronokkan.

2. Bawa anak ke pasar atau pasar raya tempatan.

3. Kanak-kanak ingin mengalami perkara yang mereka baca. Mulakan dengan perbualan mengenai buah-buahan dan sayur-sayuran dan kepentingannya untuk semua dalam keluarga.

4. Minta anak senaraikan buah-buahan dan sayur-sayuran yang mereka gemari.

5. Buat senarai beli-belah mengikut kumpulan makanan supaya kanak-kanak mudah melihat buah-buahan dan sayur-sayuran dalam senarai.

6. Wujudkan perbualan positif mengenai tabiat makan yang sihat, dan jenis makanan yang dimakan semasa makan.

Cadangan pakar diet IJN, Chong Mei Kee, dalam soal pengambilan buah-buahan:

1. Bagi kanak-kanak bawah tujuh tahun, berikan dua hidangan sayur dan dua hidangan buah sehari.

2. Untuk kanak-kanak dan remaja berumur tujuh hingga 18 tahun, makan sekurang-kurangnya tiga hidangan sayur dan dua hidangan buah sehari.

3. Pilih buah-buahan segar berbanding jus buah-buahan. Jus buah-buahan tidak sewajarnya menggantikan lebih daripada satu hidangan buah-buahan.

4. Hidangkan buah-buahan dan sayur-sayuran secara kreatif untuk menggalakkan pengambilan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 12:18 PM