Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Seorang nelayan berusia 50 tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut ketika menunda pukat seorang diri di tujuh batu nautika dari perairan Tanjung Leman, Kota Tinggi, petang semalam.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Daerah Tanjung Sedili, Komander Maritim Mustafa Kamal Abas berkata, seorang awak-awak bot terbabit melaporkan kes berkenaan 4.30 petang semalam sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan sejurus itu.

"Mangsa dikenali sebagai Chia Swee Lui seorang warga tempatan dan berasal dari Ulu Tiram dipercayai terjatuh ketika menunda pukat seorang diri.

"Bot berkenaan turut dinaiki tiga awak-awak yang berusia 45 hingga 55 tahun dan mangsa dilaporkan mengemudi bot dalam keadaan cuaca yang elok.

"Semua awak-awak berkenaan sedang tidur ketika kejadian dan hanya menyedari kehilangan mangsa selepas gagal menemuinya di dalam bot sebelum bertindak menghubungi kami," katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 12:30 PM