Skip this ad x
SEBAHAGIAN 50 jemaah yang menunaikan solat sunat Istisqa di Empangan Bukit Malut, Langkawi, hari ini. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


Langkawi: Seramai 50 jemaah menunaikan solat sunat Istisqa di Empangan Bukit Malut, di sini, memohon hujan berikutan cuaca panas yang melanda negara ini.

Solat sunat bermula jam 9 pagi itu diimamkan Mudir Madrasah Tahfiz Al-Quran Al-Marjan (MTAA) di Kampung Tanjung Lembung, Abdullah Muhamad.

Solat sunat anjuran syarikat Taliworks Langkawi Sdn Bhd (Taliworks Langkawi) itu turut disertai pelajar tahfiz MTAA dan kakitangan Taliworks Langkawi.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan dan Pengurus Taliworks Langkawi, Hasbullah Hussain.

Nor Saidi berkata, solat sunat diadakan bertujuan memohon kepada Allah supaya diturunkan hujan berikutan fenomena El Nino yang sedang melanda negara.

"Kita adakan (solat sunat Istisqa) di Empangan Bukit Malut yang juga empangan utama membekalkan air di pulau ini yang paras airnya kini berada pada 56 meter, hanya tiga meter sebelum mencecah paras kritikal 53 meter," katanya di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 1:19 PM