Paras air di Empangan Loji Rawatan Air Lok Heng, Kota Tinggi, yang merosot teruk. - Foto HAIRUL ANUAR RAHIM
Kakitangan SAJ membekalkan air menggunakan lori tangki kepada penduduk di Felda Lok Heng Timur, Kota Tinggi. - Foto OMAR AHMAD
BERNAMA

Kota Tinggi: Bekalan air berjadual yang dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili, dekat sini, berikutan penyusutan mendadak paras air di Empangan Lok Heng dan Empangan Gembut memberi kesan kepada penduduk dan sekolah.

Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa Komuniti (PIBK) Sekolah Kebangsaan (SK) Lok Heng Selatan, Maizura Mohd Yussof, berkata krisis air kali ini agak merunsingkan kerana tangki simpanan air di sekolah tidak dapat menampung keperluan warga sekolah.

Maizura berkata, walaupun ada satu tangki air disediakan Syarikat Air Johor (SAJ) di sekolah, namun ia masih tidak dapat menampung keperluan.

Menurutnya, bagi mengatasi masalah itu, pihak sekolah mengambil inisiatif menubuhkan dana wakaf untuk membeli tangki air melalui projek wakaf sekolah.

"Pihak sekolah antara yang sangat terkesan dengan krisis air lebih-lebih lagi bagi murid tahap satu.

“Oleh itu, dana wakaf ditubuhkan bagi meminta sumbangan agar sekolah dapat membeli tangki air yang lebih besar," katanya.

ADUN Sedili, Rasman Ithnain meminta penduduk bersabar dalam berdepan pelaksanaan bekalan air berjadual berkenaan.

Menurutnya, terdapat perancangan akan dilakukan kerajaan bagi mengatasi masalah air di kawasan DUN itu termasuk membuat kajian membina loji baharu.

"Saya mengajak semua penduduk supaya sentiasa berdoa dan melakukan solat Istisqa memohon hujan," katanya.

SAJ Holdings hari ini memulakan bekalan air berjadual di beberapa kawasan di daerah Kota Tinggi berikutan paras air yang merosot di beberapa loji daerah itu, membabitkan kira-kira 18,385 penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 8:53 PM