SOLAT sunat Istisqa di perkarangan Istana Arau diimamkan oleh Mohamad Abdul. FOTO Eizairi Shamsudin
Aizat Sharif


Arau: Hampir 800 jemaah dari seluruh Perlis menunaikan solat sunat Istisqa di perkarangan Istana Arau pagi ini bagi memohon hujan berikutan cuaca panas yang sedang melanda negeri itu.

Solat bermula pada 8.30 pagi itu diimamkan oleh Pegawai Jabatan Mufti Negeri Perlis, Mohamad Abdul Kadir Sahak dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat Muslim dari seluruh negeri itu termasuk ketua dan wakil daripada pelbagai jabatan kerajaan, anggota tentera, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan pelajar tahfiz.

Mohamad Abdul Kadir juga sempat menyambaikan khutbah ringkas selepas solat berakhir.

Turut berangkat menunaikan solat berkenaan adalah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisioner Shafie Ismail dan Ketua Polis Daerah Arau, Superitendan Nanda Maarof.

Dr Mohd Asri ketika ditemui berkata, solat istisqa itu dianjurkan sebagai usaha memohon kepada Allah supaya berlakunya hujan selepas seluruh negara termasuk Perlis mengalami cuaca panas yang melampau.

"Alhamdulillah, kehadiran pada pagi amat menggalakkan. Malah, baginda (Raja Muda Perlis) turut bersama-sama dengan rakyat memohon kepada Allah SWT dan walaupun ianya dilakukan pada hari bekerja, saya lihat komitmen masyarakat begitu tinggi dalam sama-sama berdoa memohon hujan dan kita mengharapkan agar segala usaha dan permintaan kita dimakbulkan oleh Allah SWT," katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, Abdul Najib Abdullah ketika ditemui selepas solat itu berkata, meskipun operasi pembenihan awan di Perlis yang dilaksanakan sejak 12 April lalu menyebabkan hujan di beberapa tempat seperti Kangar, Kuala Perlis, Arau, Padang Besar, namun ianya masih tidak cukup untuk menaikkan paras air di Empangan Timah Tasoh.

"Paras air empangan yang kini sudah berada pada keadaan kritikal terus menyusut kepada 26.10 meter (m) berbanding 26.12 m yang direkodkan semalam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 11:23 AM