MAJLIS pelancaran promosi Pertandingan ACS.
MAJLIS pelancaran promosi Pertandingan ACS.
FOTO hiasan.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Kuala Lumpur: Malaysia menetapkan sasaran menjadi juara keseluruhan dengan merangkul 15 pingat emas pada Pertandingan ASEAN Skills Competition (ASC) 2016 di ibu negara pada 23 hingga 28 September depan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot berkata, sebagai tuan rumah acara dwi tahunan itu, pihaknya yakin mencapai sasaran itu.

"Daripada 25 bidang dipertandingkan kita sasar dapat 15 pingat emas meliputi teknologi maklumat, perhotelan, kejuruteraan dan perkhidmatan persendirian seperti jurusolek," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran dan 'Flag-off Promosi Pertandingan ASEAN Skills Competition (ASC) 2016 LRT dan kereta tajaan Proton serta penyampaian sijil penghargaan kepada penaja di Stesen LRT Ampang di sini sebentar tadi.

Majlis pelancaran promosi itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Richard berkata, pihaknya bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta bagi memastikan kejayaan pertandingan terbesar disertai 226 peserta dari 10 negara ASEAN termasuk 48 orang dari negara ini.

"Untuk rekod dalam pertandingan sama di Hanoi, Vietnam pada 2014, kita dapat sembilan pingat emas dalam pelbagai kategori," katanya.

Konsep ASC adalah dianjurkan bersama Karnival & Ekspo Kemahiran Kebangsaan (KEKK).

Antara pengisian pertandingan acara termasuk demonstrasi kemahiran, konvokesyen, Persidangan Antarabangsa Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pameran daripada institut latihan kemahiran awam dan swasta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 1:13 PM