Mueller lepas jawatan September ini. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Malaysia Airlines Berhad (MAB), mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Urusannya, Christoph Mueller melepaskan jawatan berkenaan pada September ini sebelum tamat kontrak tiga tahunnya.

Beliau bagaimanapun masih mengekalkan jawatannya sebagai Pengarah Bukan Eksekutif MAB.

Pengerusi MAB, Tan Sri Md Nor Yusof dalam kenyataannya berkata, pihaknya amat kecewa dengan kehilangan Mueller tetapi memahami kehendak dan menghormati tindakannya.

Mueller menyertai MAB bermula 1 Mei 2015 dengan menggantikan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya.

Md Nor berkata, Mueller sudah membuat sumbangan besar dalam penyusunan semula MAB dan meminta untuk melepaskan jawatannya sebelum kontrak tiga tahunnya berakhir.

Katanya, Mueller memberi impak besar dalam meletakkan syarikat penerbangan itu pada trajektori yang dikehendaki ke arah pemulihan sepenuhnya.

“Kerja keras beliau sejak setahun lalu menyaksikan Malaysia Airlines berada di landasan yang betul untuk mencapai kemajuan yang membanggakan,” katanya.

Sementara itu, Mueller berkata, beliau akan meneruskan tugas selama enam bulan yang berakhir September ini.

“Malangnya, keadaan peribadi menyebabkan sukar untuk saya menyempurnakan penggal penuh saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 9:49 PM