Muhammad Apendy Issahak


Sungai Siput: Seorang lagi individu didakwa terbabit kegiatan kumpulan pengganas Daish di Mahkamah Majistret Sungai Siput, di sini dengan tiga pertuduhan iaitu memiliki barangan, menggalakan dan merekrut ahli kumpulan Daish.

Mohamad Azmin Shah Sharifudin, 22, yang berasal dari Salak Baru, di sini dan bekerja kampung didakwa dengan pertuduhan pertama memiliki barangan yang mempunyai kaitan kumpulan pengganas Daish pada 6.55 pagi di Kampung Tersusun Salak Baru, di sini pada 24 Mac 2015.

Pertuduhan pertama itu dia didakwa mengikut Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua Mohamad Azmin Shah didakwa menggalakan berlakunya perbuatan pengganas di lokasi sama pada Jun 2015 mengikut Seksyen 130G Kanun Keseksaan.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa mengikut Seksyen 130E Kanun Keseksaan kerana merekrut seorang individu lain sebagai ahli kumpulan pengganas (IS).

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffery Ong di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh dan Norhabsarina kemudian menetapkan 25 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula dan pengurusan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 2:00 PM
MOHAMAD Azmin (tengah) hadapi tiga pertuduhan kerana mempunyai kaitan dengan kegiatan kumpulan pengganad Daish. FOTO Muhaizan Yahya