TERTUDUH didenda selepas mengaku bersalah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Pengarah syarikat peralatan binaan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan mencatut menaikkan harga simen, tahun lalu.

Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu kepada tertuduh, Lua Guan Swee @ Swee, 72, yang mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mencatut menjual satu kampit simen konkrit 50 kilogram dengan menaikkan harga dari RM17.50 ke RM20.14 di premis di Jalan Nara, Pasir Puteh, 1 April 2015.

Tertuduh gagal mematuhi Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) (Margin Keuntungan Bersih) 2014.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang boleh dihukum Akta yang sama membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 3:07 PM