Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) Larry Sng dan kenyataannya di FB parti itu hari ini.
Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) Larry Sng dan kenyataannya di FB parti itu hari ini.
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Kuching: Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) Larry Sng mengumumkan meletak jawatan sebagai presiden serta tidak bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Goram pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11).

Larry yang membuat pengumuman itu menerusi akaun Facebook parti itu kira-kira jam 4 petang tadi berkata, lima hari lalu adalah paling sukar dalam hidupnya dan dengan berat hati mengumumkan meletakkan jawatan dalam parti serta tidak akan bertanding di DUN Bukit Goram.

Dia turut mengumumkan semua keputusan parti akan dibuat Setiausaha Agung Parti Munan Laja.

Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi Larry gagal, manakala sumber dalman parti ketika dihubungi enggan mendedahkan punca peletakan jawatannya.

Sebelum menubuhkan SWP pada 2012, Larry menyandang kerusi DUN Pelagus selama dua penggal bersama Parti Rakyat Sarawak (PRS) bagi PRN Sarawak ke-8 dan 9 lalu.

Larry mencipta sejarah apabila menjadi ADUN termuda dalam politik Sarawak ketika baru berusia pertengahan 20-an bagi meneruskan legasi politik bapanya, Datuk Sng Chee Hua, yang juga seorang ahli perniagaan terkenal. Beliau dipecat daripada PRS pada 2007 dan kerusi disandangnya diserah kepada sepupunya, George Lagong pada PRN Sarawak ke-10.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 11:53 PM