Reuters

New York: Jagut pecut Usain Bolt (gambar) mahu melengkapkan legasinya dengan tiga pingat emas Olimpik di Rio selain berlari di bawah catatan masa 19 saat buat kali pertama dalam acara 200 meter.

Bintang Jamaica itu membayangkan kariernya tidak mungkin berakhir di sana, mencetus kemungkinan dia akan melanjutkan kariernya selepas musim 2017 yang sebelum ini dikatakan terakhir buatnya.

Bolt sudah menyapu bersih acara pecut 100 dan 200m pada dua temasya Olimpik terakhir dan menambah emas dalam acara 4x100m kedua-dua di Beijing (2008) dan London (2012) bersama kuartet Jamaica.

“Hanya mahu mempertahankan kejuaraan saya, meraih tiga emas. Itulah sasaran utama saya. Itulah fokus utama saya,” kata Bolt semalam.

“Sasaran kedua saya adalah cuba berlari di bawah 19 saat,” ujar Bolt, yang mencatat rekod dunia 200m 19.19s pada 2009. “Ia sesuatu yang terlalu saya inginkan dan harapnya semua berjalan lancar dan saya berjaya melakukannya. Ia pasti satu pencapaian besar buat saya.”

Bolt berkata, dia secara perlahan-lahan kembali ke tahap terbaik selepas menangani masalah kecederaan buku lali.

“Saya berasa OK,” katanya. “Jurulatih saya menyatakan kecergasan saya bukanlah di tahap yang dikehendakinya.

“Bermula awal musim ini saya berdepan masalah buku lali dan ia satu tamparan tapi tidaklah teruk sangat. Kami kembali ke landasan baik dan beliau gembira dengan perkembangan saya.”

Bolt berkata, dia akan melakukan persediaan dengan berhati-hati jadi dia boleh menamatkan karier Olimpik dengan gemilang.

“Saya benar-benar mahu berada pada tahap terbaik menjelang temasya. Saya mempunyai dua bulan sebelum (ujian pemilihan Jamaica) dan tiga setengah bulan sebelum temasya sebenar,” ujarnya.

“Saya akan terus bekerja keras dan harapnya semua berjalan lancar dan saya akan berada pada tahap terbaik menjelang Olimpik.”

Bolt berkata, dia akan berlari perlumbaan pertama di Cayman, kemudian di Ostrava, diikuti kejohanan di Jamaica Jun ini sebelum ujian pemilihan dan diakhiri dengan kejohanan Liga Berlian di London.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 7:28 AM