TUAREV (kiri) ledak dua gol.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Maran: FELDA United mengukuhkan cengkaman di tangga teratas Liga Super apabila menang selesa 4-0 ke atas PDRM di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam tadi.

FELDA United kini mengumpul 21 mata dengan satu mata mengatasi pesaing terdekat Johor Darul Ta’zim yang turut mencatat kemenangan menentang Sarawak.

Pasukan tuan rumah bermula garang dengan melakukan asakan ke kubu PDRM pada awal permainan dan nyaris memperoleh gol pertama namun jaringan Turaev pada minit ke-7 dibatalkan pengadil.

Pada minit ke-17 Forkey Doe pula mensia-siakan peluang apabila gagal menyempurnakan hantaran cantik Zah Rahan Krangar.

Gol pembukaan tuan rumah hadir pada minit ke-20 apabila Christie Jayaseelan menewaskan penjaga gol PDRM Haziq Nadzli hasil gerakan cantik Doe.

Bagaikan mendapat suntikan semangat, The Fighters menggandakan serangan dan selang enam minit kemudian Lutfulla Turaev menjaringkan gol kedua menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti.

Tuan rumah nyaris meperoleh gol ketiga namun jaringan Doe pada minit ke-30 dibatalkan pengadil akibat ofsaid.

PDRM cuba bangkit pada babak kedua dengan melakukan beberapa percubaan namun barisan pertahanan The Fighters terlalu kukuh untuk dibolosi.

Turaev sekali lagi memanfaatkan peluang terhidang apabila menanduk masuk hantaran silang pemain gantian, Ridzuan Abdunloh Pulo pada minit ke-87.

Doe memastikan tuan rumah berpesta jaringan apabila menjaringkan gol keempat pada minit akhir perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 7:55 AM