Kuantan: Penyerang import German Pacheco muncul wira Pahang apabila jaringan seminit sebelum tamat perlawanan membolehkan tuan rumah menewaskan Kelantan 4-3 di Stadium Darul Makmur malam tadi.

Kesungguhan Pahang untuk menceriakan penyokong jelas menjadi keutamaan apabila melancarkan serangan ke kubu lawan dengan peluang terbaik diperoleh menerusi tandukan Pacheco tetapi bola terus ke dakapan Khairul Fahmi Che Mat seawal minit kelima.

Namun, selang tiga minit, penyerang Kelantan Dramane Traore mengejutkan skuad kendalian Razip Ismail apabila menjaringkan gol pendahuluan buat pelawat.

Pada minit ke-13, penyerang import Tok Gajah Dalibor Volas (gambar) berjaya menjaringkan gol penyamaan.

Fauzi Rozlan hampir meletakkan tuan rumah di depan, namun bola lencong sepakannya sedikit tersasar biarpun Khairul Fahmi sudah tertewas pada minit ke-23.

Volas yang melakukan hatrik ketika membantu Pahang membenam Perak 4-3 menjaringkan gol kedua pada minit ke-30 tetapi pengadil perlawanan, Zulkifli Ahmad membatalkannya kerana ofsaid.

Pada minit ke-45, Pacheco memastikan Pahang mendahului 2-1 sebelum tamat separuh masa pertama sekali gus mengecewakan skuad kendalian K Devan.

Bersambung babak kedua, tuan rumah tidak menunggu lama untuk menambah gol ketiga hasil tandukan pemain tengah, Faisal Rosli yang menerima hantaran lintang Fauzi pada minit ke-47.

Pada minit ke-55, penyerang Kelantan, Blazhe Ilioski mudah menyempurnakan sepakan penalti selepas pemain tuan rumah menjatuhkan Traore.

Minit ke-77, pemain gantian lawan, Khairul Izuan menyamakan kedudukan 3-3.

Seminit sebelum tamat perlawanan, Pacheco muncul wira Pahang apabila menewaskan Khairul Fahmi untuk memastikan tiga mata buat Tok Gajah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 7:56 AM