LUCERO (dua dari kiri), Diaz (kiri) mengasak kubu Sarawak.
Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim (Johor DT) menggunakan sepenuhnya kesempatan beraksi di laman sendiri untuk mencipta kemenangan 5-2 ke atas Sarawak pada aksi Liga Super di Stadium Larkin, malam tadi.

Kemenangan adalah sesuatu yang amat penting buat skuad kendalian Mario Gomez dalam usaha menghambat FELDA United yang masih kekal di tangga teratas liga elit domestik itu.

Sebaik babak pertama bermula, tuan rumah tidak menunggu lama apabila memulakan jaringan pada minit ketiga perlawanan selepas berlaku kekalutan di depan gol dan Pereyra Diaz sempat menyambar bola untuk mencipta gol.

Azammuddin Akil terlepas peluang terbaik untuk menambah jaringan pada minit ke-13 selepas rembatan deras dilakukannya di dalam kotak penalti sekadar singgah di tiang gol ketika penjaga gol pelawat Shahril Saari sudah tertewas.

Walaupun menguasai perlawanan, tuan rumah terkejut dengan jaringan penyamaan pelawat selepas sepakan lintang Nur Shamie Iszuan Amin disambar K Gurusamy yang merembat menewaskan penjaga gol Izham Tarmizi Roslan.

Namun, kedudukan 1-1 itu tidak bertahan lama apabila Marcos Antonio yang tidak dikawal mudah menanduk gol kedua pada minit ke-34 hasil sepakan sudut Safiq Rahim.

Seminit kemudian, tuan rumah meledak gol ketiga menerusi Juan Lucero yang mudah menewaskan Shahril, berpunca daripada umpanan Diaz.

Malang terus menimpa pelawat apabila kapten Shahrol Saferi tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-40 apabila cuba menghalang sepakan lintang Azinee Taib.

Ketika aksi berbaki seminit untuk ditamatkan pada babak pertama, Fazly Mazlan yang tidak dikawal mudah menyusup dan pantas melakukan rembatan deras tepat ke penjuru kiri pintu gol pelawat.

Pelawat melakukan kebangkitan pada minit ke-59 apabila rembatan Makeche Ndumba cuba dikeluarkan Fadhli Shas namun tandukannya menerjah ke gawang sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 7:59 AM