ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha memadamkan kebakaran hutan paya gambut. FOTO Bernama
Shamsudin Husin


Chukai: Hampir 900 panggilan kes kebakaran diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu sejak Januari hingga hari ini, meningkat hampir dua kali ganda berbanding 500 kes sepanjang tahun lalu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Penguasa Kanan Bomba 11 Khairul Ariffin Che Ramli berkata, kes paling banyak berlaku membabitkan kebakaran belukar diikuti kebakaran lalang.

"Sehingga kini, empat kawasan belukar dan tanah gambut terbabit kebakaran iaitu di Kampung Batu 7, Dungun seluas lima hekter; hutan paya gambut di Kampung Chabang (15 hektar); belukar kawasan Eastern Ateel Teluk Kalong (100 hektar) dan belukar Durian Guling, Marang (15 hektar).

"Bagi kebakaran hutan belukar, bomba menerima 702 kes panggilan kecemasan manakala baki selebihnya panggilan kebakaran lalang," katanya pada sidang media di lokasi Pos Kawalan Pasukan Bomba dan Penyelamat di Kampung Chabang, Kerteh, hari ini.

Menurutnya, bagi memastikan keadaan terkawal dan memudahkan usaha memadamkan kebakaran sepenuhnya pihaknya menempatkan seramai 172 pegawai dan anggota bomba diempat lokasi kebakaran, iaitu 30 orang di Kampung Batu 7, Dungun; Kampung Chabang, Kerteh (42); Kilang Eastern Steel (20) dan 80 di Kampung Durian Guling, Marang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 4:23 PM