Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Beraksi di tempat sendiri pastinya sesuatu dinantikan ratu skuasy negara, Datuk Nicol David (gambar) menjelang aksi Kejohanan Skuasy Wanita Dunia yang akan membuka tirai di Bukit Jalil esok.

Prestasi tidak menentu sepanjang musim lalu banyak memberi kesan kepada corak permainan Nicol dengan bekas pemain nombor satu dunia itu menegaskan kejayaan merangkul gelaran ke-10 di Terbuka Hong Kong tahun lalu sedikit sebanyak mengubat kekecewaannya.

“Sungguh mengujakan dapat kembali beraksi di tempat sendiri selepas sekian lama, terutama Kejohanan Dunia terakhir berlangsung di sini pada 2004. Pastinya ia mengimbau banyak kenangan.

“Peluang beraksi di sini cukup bermakna dan saya yakin sokongan padu penonton akan memberi semangat luar biasa.

“Jika berjaya mengekalkan kejuaraan ia bonus buat saya kerana dapat melakukannya di depan penyokong sendiri,” katanya.

Mengulas mengenai sasarannya, Nicol berkata berdasarkan prestasi semasa dia tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi dan akan turun menikmati setiap perlawanan dengan memberi tentangan sebaik mungkin.

Nicol yang kini di ranking kelima dunia berdepan laluan berliku dalam mempertahankan kejuaraan apabila berdepan pemain Australia Rachael Grinham yang berada di ranking ke-20 dunia pada pusingan pertama.

Menantinya di suku akhir Nour El Sherbini dari Mesir - pemain yang menewaskannya buat kali keempat berturut-turut dalam sembilan pertemuan keseluruhan.

Terbaru, pemain Mesir yang berada di tangga kelima dunia itu menewaskan Nicol pada separuh akhir Terbuka British.

Justeru, pertemuan sekali lagi pasti menjanjikan cabaran sengit dengan kelebihan sokongan Bukit Jalil dijangka memihak kepada Nicol.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 8:32 AM