PEMAIN Kelantan Blazhe Ilioski (depan) dikawal pemain Pahang, kelmarin.
Azlan Hafeedz

Kota Bharu: Kekalahan Kelantan di tangan Pahang malam kelmarin menambah duka penaja utamanya Datuk Seri Dr Hasmiza Othman dari Vida Beauty Sdn Bhd.

Usahawan kosmetik itu yang lebih dikenali sebagai Dr Vida mengaku kecewa apabila pasukan yang ditaja RM16 juta untuk dua musim itu gagal menyerlah seperti diharapkan apabila sebaliknya terus mempamer prestasi yo-yo.

Kelantan yang dinamakan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQP TRW) kini berada di tangga ketujuh Liga Super.

Katanya, sukar meneka apa masalah menghantui pasukan itu kerana pihaknya sudah melakukan yang terdaya termasuk membantu pengurusan pasukan bagi menyelesaikan pembayaran gaji.

“Jika hendak kait dengan masalah gaji, tidak mungkin kerana kita sudah berusaha membayarnya mengikut tarikh dijanjikan.

“Sebelum ini, saya banyak bersabar menadah telinga mendengar masalah mereka. Tapi baki tiga lagi perlawanan sebelum tamat pusingan pertama ini, saya mahu lihat perubahan drastik.

“Mutu pasukan dan kualiti permainan perlu dipertingkatkan. Jika masih sama rasanya perlu lakukan sesuatu ikut cara saya.

“Ketika ini, saya mengharapkan pihak pengurusan KAFA melakukan bedah siasat segera terhadap kemerosotan prestasi dan menilai laporan penuh ketua jurulatih,” katanya.

Dalam perlawanan di Stadium Darulmakmur, Kuantan malam kelmarin, Kelantan tewas 3-4.

Pasukan bimbingan Razip Ismail itu memperoleh gol menerusi Dalibor Volas pada minit ke-13, German Pacheco (m-45 dan 90) serta Faisal Rosli (m-47) manakala gol Kelantan dihasilkan Dramane Traore (m-8), Ilijoski (m-55) dan Khairul Izuan (m-77).

Mengenai strategi jurulatih K Devan, Dr Vida berkata, beliau tidak berhak membuat komen berhubung perkara itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

“Apapun yang akan berlaku selepas ini, saya sudah bersedia dengan pilihan saya siapa yang bakal memegang kerusi jurulatih dan import baru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 8:45 AM