JOHARI (kiri) memberi penerangan kepada tetamu pada perasmian pameran berkenaan.
JOHARI (kiri) memberi penerangan kepada tetamu pada perasmian pameran berkenaan.
JOHARI mengetengahkan dinamik lukisan dengan medium pensel di atas kertas.
JOHARI mengetengahkan dinamik lukisan dengan medium pensel di atas kertas.
LUKISAN menggunakan medium arang.
LUKISAN menggunakan medium arang.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Bermula sebagai hobi, Johari Ibrahim bermain gitar dan ukulele bagi mengisi masa lapang sementara menunggu pelanggan mendapatkan khidmat melukis potret dan landskap di kedainya di Dataran Pahlawan, Melaka.

Kelebihan sebagai pemuzik dan pelukis menyebabkan potret dihasilkan Johari menjadi tarikan kerana selain dapat mendengar alunan muzik, mereka turut berpeluang memperoleh lukisan hasil tangannya.

Mendapat inspirasi daripada kehidupannya yang banyak terbabit dalam gitar dan ukulele mendorong beliau menghasilkan koleksi karya khas dengan tema alat muzik berkenaan.

Koleksi yang dipersembahkan dalam pameran solo pertamanya diberi nama ‘Unplugged’ turut menampilkan keunikan dan kehalusan garisan dalam karya dihasilkan.

Pameran yang berlangsung di Creative Space, Bangunan Pentadbiran Lembaga Pembangunan Seni Visual, Balai Seni Visual Negara (BSVN), Kuala Lumpur itu mengetengahkan karya yang memfokuskan pemain alat muzik gitar dan ukulele dengan pelbagai gaya sebagai subjek utama.

Sebanyak 20 karya dinamik dan teliti itu menampilkan aksi pemuzik yang terdiri daripada keluarga dan rakan pelukis sendiri.

Antara medium digunakan dalam penghasilan koleksi karya Unplugged ialah pensel di atas kertas, kanvas dan arang.

Johari turut menggunakan campuran media bagi menghasilkan karya yang lebih halus dan unik dengan menggabungkan cat minyak dan pensel serta arang.

Pengunjung boleh menghayati kehalusan lukisan Johari yang dibuka sehingga 1 Mei ini.

INFO

• Artis: Johari Ibrahim

• Jumlah karya: 20 karya

• Lokasi: Creative Space, Bangunan Pentadbiran Lembaga Pembangunan Seni Visual, Balai Seni Visual Negara, Jalan Temerloh Off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur

• Tarikh: Sehingga 1 Mei

• Masa: 10 pagi hingga 6 petang

• Telefon: 03-4026 7000

• Laman web: www.artgallery.gov.my

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 12:51 PM