USAHA memadam kebakaran masih diteruskan di kawasan hutan tanah gambut. FOTO ihsan Bomba
Mohd Rizal Abdullah


Miri: Indeks pencemaran udara (IPU) di Miri mencatatkan bacaan tidak sihat manakala IPU di Institut Latihan Perindustrian Miri (ILP) mencatatakan bacaan sederhana, tengah hari tadi.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar, IPU Miri mencatatkan bacaan 143 manakala IPU ILP mencatatkan bacaan 60 sehingga 12 tengah hari tadi.

Peningkatan IPU berkenaan disebabkan kebakaran hutan seluas 20 hektar di kawasan hutan tanah gambut berhampiran Gokart Miri sejak Selasa lalu.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng dan kakitangan syarikat Naim masih berusaha memadamkan kebakaran itu.

Menurutnya, operasi pemadamam itu paling sukar berikutan berada di tengah hutan dan hanya boleh dilalui oleh kenderaan tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 2:25 PM