DYBALA meraikan jaringan kedua ke atas Lazio, kelmarin.
AFP

Milan: Jurulatih Juventus Massimiliano Allegri sedia menyambut kejayaan pasukannya menjulang gelaran Serie A buat kali kelima berturut-turut walaupun kelab gergasi Turin itu bermula hambar, awal musim ini.

Juventus sudah terlalu hampir untuk menyamai catatan 1935 apabila memenangi lima gelaran liga berturut-turut apabila pesaing utama Napoli ketinggalan sembilan mata di belakang sambil saingan berbaki empat perlawanan.

Juara bertahan itu pasti menjulang ‘scudetto’ kelima jika menewaskan Fiorentina di tempat lawan malam ini sambil Napoli gagal mengatasi Roma di ibu negara Itali, Isnin nanti.

“Kami pernah hampir lemas tapi berjaya menyelamatkan diri,” kata Allegri sambil merujuk kepada masalah yang mereka harungi awal musim ini.

“Kini kami hanya selangkah lagi untuk melengkapkan catatan penuh sejarah tapi di Florence kami perlu bermain dengan baik. Fiorentina pasukan hebat dan sudah menjadi musuh utama kami sejak bertahun-tahun lalu.

“Tapi, saya juga tidak sabar untuk menyambut kejayaan kami di depan semua pihak.”

Jika dilihat daripada kedudukan Juve yang hanya satu mata di atas zon penyingkiran Oktober lalu, apa yang berlaku ketika ini sangat mengagumkan buat Allegri yang mengambil alih pasukan pada 2014.

Pada musim pertamanya, Allegri yang dipecat AC Milan pada Januari 2014, mengetuai Bianconeri untuk menjulang gelaran liga pertama dan kejayaan berganda yang pertama dalam tempoh 20 tahun serta layak ke final Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun.

Walaupun tersingkir di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara musim ini, Juventus masih boleh mengulangi kejayaan berganda apabila bakal berdepan AC Milan pada final Piala Itali, 21 Mei nanti.

Juve berpeluang menjarakkan rekod tanpa kalah kepada 25 perlawanan esok tetapi mereka bakal berdepan Fiorentina - pasukan yang mahu bangkit melakar kejayaan selepas ditewaskan Udinese pertengahan minggu ini.

Tetapi Sousa berkata, pasukannya sedia untuk melayan Juve: “Kami tidak sabar. Kami berpeluang menang, pasukan berada di tahap terbaik dan kami tahu bagaimana untuk menghadapi pasukan yang pada keadaan biasanya sukar ditewaskan.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2016 @ 7:31 AM