Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Empat lelaki termasuk bekas polis ditahan sepasukan polis MPV Dang Wangi di Jalan Batu Bata, dekat Titiwangsa Sentral, pada awal pagi Sabtu.

Sumber polis berkata, anggota turut menemui lelaki yang mendakwa dirinya diculik kumpulan itu.

Menurutnya, ketika membuat pemeriksaan, polis turut menemui sepucuk pistol bersama kelopak peluru dan gari di bawah tempat duduk penumpang hadapan.

Katanya, ketika disoal siasat, seorang daripada lima lelaki itu mengaku diculik di depan bank di Klang , Selangor, kelmarin, sebelum dibawa oleh kumpulan itu hingga ke Kuala Lumpur.

"Mangsa berusia 35 tahun itu juga mendakwa dipukul di mukanya selain bekas polis yang mendakwa dia masih bertugas dengan PDRM sebagai ASP mengugut akan menembaknya.

“Gari mangsa hanya dibuka selepas tiba di hadapan restoran di ibu negara dan mangsa diminta untuk membayar RM30,000 sebagai wang tebusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2016 @ 9:49 PM