ATILIA (depan) bersama Arasu (tiga dari kiri), Mary (dua dari kiri) serta pasangan yang berjaya mendapat anak selepas ujian saringan kesuburan.
ATILIA (depan) bersama Arasu (tiga dari kiri), Mary (dua dari kiri) serta pasangan yang berjaya mendapat anak selepas ujian saringan kesuburan.
WAKTU terbaik wanita mendapat zuriat pada umur 25 hingga 35 tahun.
WAKTU terbaik wanita mendapat zuriat pada umur 25 hingga 35 tahun.
Hidayatul Akmal Ahmad


Dianggarkan satu daripada enam rakyat negara ini mengalami masalah kesuburan. Secara umumnya ia dikaitkan dengan perubahan demografi dalam kalangan pasangan di Malaysia.

Wanita berkahwin lambat dan mengejar kerjaya bagi mendapatkan jaminan kewangan antara punca ramai pasangan menghadapi kesukaran untuk hamil apabila mahu memulakan kehidupan kekeluargaan.

Kekurangan kesedaran adalah faktor besar yang mempengaruhi pasangan di negara ini untuk mendapatkan bantuan. Ramai yang hanya berjumpa doktor kesuburan selepas mencuba untuk hamil selama beberapa tahun.

Pengarah Perubatan Fertility Associates Malaysia, Dr Mathi Arasu Muthusamy berkata, umur wanita sangat berkait rapat dengan kesuburan dan semakin berusia seseorang wanita, kesuburannya semakin menurun.

“Secara keseluruhan, waktu subur wanita berusia 25 hingga 35 tahun. Ia adalah waktu terbaik untuk wanita mendapatkan zuriat secara amnya. Tetapi disebabkan perubahan gaya hidup, wanita dilihat lebih gemar menstabilkan kerjaya dan kewangan daripada memikirkan isu perkahwinan seterusnya menyebabkan mereka kurang memberi perhatian terhadap isu ini,” katanya.

Arasu ketika ditemui pada perbincangan bertajuk ‘Kejar Kerjaya atau Tukar Lampin’ di Fertility Associates Malaysia, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, berkata bagi wanita yang berusia kurang 30 tahun, peluang mengandung lebih 60 peratus manakala sebaik mencecah usia 36 tahun, peluang itu menurun kepada kira-kira 50 peratus.

Sebaik wanita mencecah usia 40 tahun, kesuburannya menurun antara 20 hingga 30 peratus dalam usaha mendapatkan zuriat. Arasu menyarankan wanita berusia bawah 35 tahun yang sudah berkahwin untuk mencuba mendapatkan anak secara semula jadi bagi tahun pertama perkahwinan mereka. Bagi wanita berusia lebih 36 tahun, cuba mengandung dalam tempoh enam bulan perkahwinan mereka.

“Wanita masa kini dilihat lebih fokus dalam kerjaya manakala untuk berumah tangga pula adalah isu kedua. Rata-rata wanita berkahwin pada usia 30-an.

“Situasi ini amat berbeza dengan 10 tahun lalu di mana wanita ketika itu berkahwin pada usia sepatutnya seperti awal atau pertengahan 20-an. Wanita masa kini rata-rata mahu memulakan keluarga pada usia pertengahan 30-an manakala pada usia akhir 30-an atau awal 40-an baru berjumpa doktor bagi rawatan kesuburan,” katanya.

Sehingga kini, orang ramai masih kurang menitikberatkan ujian saringan kesuburan sehingga mereka mencapai usia matang atau selepas berlalu usia kesuburan mereka.

Saringan kesuburan adalah hampir sama dengan saringan kesihatan biasa. Bagi lelaki dan wanita ada beberapa ujian yang boleh memeriksa tahap kesuburan bagi membantu merancang masa depan.

Ujian ini membantu jika seseorang mempunyai jam biologi yang lebih cepat dan akan hilang kesuburannya lebih awal daripada yang dijangka.

Ujian yang disediakan dikenali sebagai ‘simpanan ovari’ dengan mengira bilangan folikel telur yang sedang terbentuk pada sesuatu jangka masa.

Ujian simpanan ovari ini membabitkan ujian darah untuk mengesan Hormon Perangsang Folikular (FSH) dan estradiol antara hari kedua dan keempat kitaran, imbasan ultra bunyi pelvik atau ujian darah untuk Hormon Anti Mullerian (AMH) yang boleh dilakukan bila-bila masa.

Pengerusi dan Pakar Kesuburan, Fertility Associates New Zealand, Dr Mary Birdsall berkata, kini banyak kemajuan dalam bidang kesuburan.

“Saya menggalakkan wanita membuat tindakan terhadap kesuburan mereka sebaik mencapai usia subur. Mulakan dengan lebih awal serta jalani saringan supaya anda memahami kesuburan juga pilihan yang ada sama ada memerlukan rawatan kesuburan atau tidak untuk hamil,” katanya.

Bagi golongan lelaki, analisis semen mengkaji jumlah sperma, bentuk dan kebolehan bergerak. Satu ujian saja tidak memberikan semua maklumat diperlukan. Umur adalah faktor terpenting untuk cuba hamil. Wanita muda tanpa masalah kesuburan mempunyai kira-kira 25 peratus peluang setiap bulan untuk hamil secara semula jadi.

Namun, peluang itu jatuh sehingga 12 peratus pada usia 37 tahun dan empat peratus pada usia 42 tahun. Setiap tahun amat penting apabila memasuki usia lewat 30-an.

Turut hadir, selebriti Atilia Haron yang berkongsi pengalaman menjalani ujian saringan kesuburan yang banyak membantu beliau serta suami memahami status kesihatan kesuburan meteka seterusnya peluang untuk berjaya sama ada menggunakan rawatan atau sebaliknya.

“Sepanjang usia dewasa, saya tidak bimbang mengenai kesuburan. Status kesuburan seseorang bukan sesuatu yang dibincangkan secara terbuka. Kini selepas saya dan suami mencuba untuk tempoh yang agak lama, saya sedar sudah tiba masa untuk mendapatkan bantuan.

“Saya di sini untuk meyakinkan lelaki dan wanita di Malaysia bahawa anda boleh fokus kepada kerjaya dan juga mempunyai anak jika mengambil langkah yang sepatutnya bermula dengan saringan kesuburan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2016 @ 5:01 AM