PENYERAP hentak belakang.
RUANG luas di bawah tempat duduk.
LAMPU isyarat hadapan dengan rekaan menarik.
YAMAHA NMAX.
Erywan Norshal


Hampir setahun masyarakat negara ini menunggu kehadiran motosikal skuter baharu Yamaha NMAX selepas ia dilancarkan pada Februari 2015 di Indonesia.

Ini adalah model pertama Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM), motosikal skuter yang dijanakan enjin 155cc sejukan cecair baharu dengan Sistem Penggerakan Injap Boleh Laras (VVA).

Enjin itu juga menerima sentuhan Teknologi Blue Core baharu supaya perhatian tertumpu pada usaha mempertingkatkan kecekapan pembakaran enjin, memperbaiki proses penyejukan dan mengurangkan kehilangan kuasa dalam operasi.

Tenaga yang terhasil menyalurkan 14.8 hp pada 8,000rpm manakala tork setinggi 14.4Nm pada 6,000rpm. Keupayaan enjin itu teruji selepas penulis menjadi wakil media paling awal berpeluang menunggang Yamaha NMAX untuk dikongsikan dalam ruangan ini.

Secara keseluruhan, prestasi enjinnya lancar dan ringan ketika menunggang dalam bandar lantaran pendikitnya pantas bertindak balas. Memang mengujakan ketika mengendalikannya di bandar, maklumlah penulis tidak perlu berfikir banyak untuk menukar gear, selain rasa lebih berani melalui di celah kenderaan dengan lebih laju berbanding biasa.

Tempat duduk yang lebar serta ruang lantai lebih lapang membolehkan tunggangan dengan pelbagai posisi, ternyata gabungan ciri itu membuatkan rasa selesa terutama menunggang jarak jauh.

Pengendalian jentera ini boleh dikatakan mantap terutama ‘bermain’ di selekoh apabila menjanjikan kestabilan selepas menggunakan penyerap hentak berkembar pada bahagian belakang serta rim lebih besar bersaiz 13 inci.

Dalam tempoh seminggu menunggangnya, kelajuan maksimum yang dicapai adalah 117 kilometer sejam (km/j) di lebuh raya. Malah, ketika kelajuan itu, rasa getaran tidak terlalu kuat cuma penulis kurang selesa dengan rintangan angin akibat perlindungan hadapan terlalu kecil.

Kuasa hentiannya pula dibekalkan dengan cakera brek depan dan belakang untuk mewujud daya membrek lebih optimum. Bagaimanapun, ia tidak dilengkapi dengan Sistem Brek Antikunci (ABS) sepertimana model Yamaha NMAX yang dijual di Indonesia.

Bagi mengekalkan ciri skuter seperti model lain, ruang simpanan di bawah tempat duduk cukup luas untuk memuatkan satu topi keledar atau menyimpan barangan berharga. Di bahagian hadapan pula ruang penyimpan tidak terlalu besar dan sekadar boleh memuatkan botol minuman bersaiz kecil.

Paling menarik, motosikal ini jimat minyak kerana dengan satu tangki penuh petrol 6.6 liter, ia terdaya ditunggangi hampir 170 kilometer dengan gaya tunggangan sedikit agresif.

Dari segi penampilan, penulis rasa reka bentuk Yamaha NMAX menawan dan pandangan itu dipersetujui rakan Vroom/Metro Ahad yang lain. Reka bentuk jentera ini sebenarnya menerima sentuhan warisan siri skuter Yamaha MAX yang popular di Eropah sejak diperkenalkan 15 tahun lalu.

Imejnya diambil daripada rangkaian model Yamaha TMAX 530cc, diikuti oleh XMAX dengan enjin 400cc, 250cc dan 125 cc.

Model itu juga dibangunkan dengan konsep ‘Global Prestige City Commuter’ yang menawarkan aspek pengendalian sporty dan praktikal. Paling menarik, meter kelajuannya menggabungkan ciri terkini dengan sentuhan bacaan digital yang mempunyai bacaan tahap penggunaan bahan api.

Ini bermakna, anda boleh menjangka bahan api yang digunakan sebaik memulas pendikit ketika menunggang.

Bagi penulis, Yamaha NMAX mobiliti yang seronok ditunggang di kawasan bandar sebagai pengangkutan alternatif penduduk kota.

SPESIFIKASI:

YAMAHA NMAX

Enjin: 155cc, empat injap, sejukan cecair, SOHC.

Kuasa maksimum: 14.8hp pada 8,000rpm.

Tork maksimum: 14.4Nm pada 6,000 rpm.

Transmisi: Tali sawat V-Automatik.

Kapasiti petrol: 6.6 liter.

Harga: RM8,812.84 tidak termasuk perlindungan insurans dan pendaftaran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2016 @ 5:01 AM