PEMAIN Kedah, Abdul Halim Saari (dua dari kiri) cuba melepasi dua pemain Johor DT.

Alor Setar: Kedah gagal memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri apabila sekadar terikat 1-1 dengan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dalam aksi penuh debaran di Stadium Darulaman, malam tadi.

Skuad Helang Merah membuat kejutan awal apabila Baddrol Bakhtiar menjaringkan gol pada minit pertama menerusi sepakan kencang yang menewaskan penjaga gol pelawat Izham Tarmizi selepas menerima hantaran Farhan Roslan.

Perlawanan semakin rancak apabila barisan depan pelawat mula melakukan serangan bagi mencari gol penyamaan tetapi mudah dipatahkan pertahanan Kedah diketuai Bang Seung-hwan.

Bagaimanapun, permainan beberapa kali terhenti seketika apabila pemain skuad Helang Merah mengalami kecederaan akibat dikasari lawan.

Asakan Johor DT yang bertali-arus hampir menghasilkan gol namun sepakan kencang penyerang Pereyra Diaz berjaya ditumbuk keluar Mohd Farhan Abu Bakar pada minit ke-18.

Permainan juga bertukar menjadi lebih panas apabila pemain Johor DT Junior Eldstal dilayangkan kad kuning pada minit ke-24 dan Carlos Kahe turut menerima padah apabila menerima kad kuning dua minit kemudian.

Pemain gantian Mohd Amri Yahyah yang dimasukkan bagi menggantikan Mohd Amirul Hadi turut melakukan kejutan menerusi rembatan kencang namun tersasar.

Gol penyamaan yang dicari Johor DT akhirnya muncul apabila Juan Martin Lucero menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-45 yang dihadiahkan pengadil selepas Diaz dijatuhkan di dalam kotak penalti.

Sebaik babak kedua bermula, Kedah memburu gol menerusi percubaan kencang Syafiq Ahmad dan Baddrol Bakhtiar tetapi tersasar.

Johor DT melakukan cubaan menerusi sepakan Diaz pada minit ke-61 yang membuat larian solo tetapi cubaannya ditepis Mohd Farhan.

Sementara itu, Pengarah Urusan D’Herbs Holdings (M) Sdn Bhd Datuk Aliff Syukri Kamarzaman mengakihiri teka-teki apabila beliau mengesahkan tajaan RM30 juta buat skuad Helang Merah untuk tempoh tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2016 @ 6:11 AM